Home All Petua Kewangan Kurangkan Perbelanjaan & Mesti Ada Side Income, Ini Tip Untuk Kekal Berduit...

Kurangkan Perbelanjaan & Mesti Ada Side Income, Ini Tip Untuk Kekal Berduit Agar Tidak ‘Botak’

779
0
Kurangkan Perbelanjaan & Mesti Ada Side Income, Ini Tip Untuk Kekal Berduit Agar Tidak ‘Botak’

Kurangkan Perbelanjaan & Mesti Ada Side Income, Ini Tip Untuk Kekal Berduit Agar Tidak ‘Botak’ | Tip urus wang ini adalah perkara paling asas yang perlu anda fahami dan lakukan dalam perancangan kewangan peribadi anda.

Kenapa Pendapatan MESTI melebihi Perbelanjaan?

Konsep yang begitu mudah untuk difahami tetapi mencabar untuk dipraktikkan. Kita perlu pastikan pendapatan atau gaji (input) mesti lebih daripada perbelanjaan (output). Barulah kita berada dalam zon selamat dan dapat mengelakkan daripada berhutang.

Persoalannya, bagaimana ingin tahu perbelanjaan kita ? Mudah sahaja. Bermula awal bulan depan, pastikan semua perbelanjaan anda setiap bulan direkodkan dan ketahui berapa jumlah perbelanjaan anda pada bulan tersebut. Berkenaan pendapatan pula, anda hanya perlu jumlahkan gaji bulanan termasuk elaun, bonus, kerja-kerja tambahan dan pendapatan pasif.

BACA: 5 Ramalan Bill Gates Mengenai Ekonomi Pasca Covid-19 Yang Kita Perlu Beri Perhatian

Apabila PENDAPATAN anda ditolak PERBELANJAAN, masih mempunyai baki positif, maka anda telah melepasi ujian pertama dan berada dalam zon selamat. Tetapi, sekiranya baki negatif, anda hanya ada dua pilihan sama ada mengurangkan PERBELANJAAN atau menambahkan PENDAPATAN.

Kurangkan Perbelanjaan

Untuk kembalikan ke zon selamat, anda boleh cuba kurangkan dahulu perbelanjaan bulanan. Pengalaman saya mengajar, perubahan yang sedikit tetapi istiqamah biasanya lebih berkesan daripada anda cuba untuk berubah secara drastik.

Terpulang kepada anda untuk membuat pilihan terbaik. Saya gariskan beberapa langkah asas yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan perbelanjaan.

perbelanjaan

#1: .Rekod semua perbelanjaan anda

Saya biasa menggunakan buku 555 yang diletakkan dalam dompet untuk merekodkan perbelanjaan ketika mula memantau perbelanjaan dulu.

Tetapi sekarang ini sudah ada pelbagai alat elektronik yang boleh digunakan untuk merekodkan perbelanjaan seperti menggunakan smartphone, iPad dan sebagainya. Rekod ini akan menjadi data rujukan anda untuk menganalisis perbelanjaan.

Proses merekodkan ini juga secara tidak langsung berjaya menjadikan saya begitu berjaga-jaga sebelum berbelanja.

#2: Bezakan KEPERLUAN dan KEHENDAK

Asingkan setiap perbelanjaan anda sama ada ia satu keperluan atau kehendak. Cuba periksa bil-bil bulanan anda. Adakah anda betul-betul perlukannya? Adakah anda perlu melanggan Astro atau siaran TVpercuma sudah memadai.

Adakah anda perlu menggunakan Smartphone Blackberry atau iPhone tetapi anda sebenarnya hanya gunakannya untuk telefon dan SMS sahaja?

Adakah anda perlu menonton wayang apabila setiap filem baru ditayangkan atau anda boleh menyewa atau membeli secara berkongsi DVD filem tersebut? Semua perbelanjaan yang tidak perlu bolehlah dikurangkan atau dihapuskan terus.

#3: Berbelanja mengikut belanjawan

Anda perlu membuat “budget” atau belanjawan lebih awal iaitu sebelum wang gaji anda masuk. Pastikan ia bertulis dan sepatutnya dibincangkan bersama pasangan anda bagi yang sudah berkahwin.

Apabila sudah ada belanjawan bulanan, anda perlu pastikan hanya berbelanja mengikut apa yang ada di dalam belanjawan sahaja.

Dengan cara ini anda dapat mengelakkan belanja secara berlebihan atau membeli barangan yang tidak perlu atau tiada dalam belanjawan.

Contohnya, sebelum pergi membeli belah di pusat membeli-belah, pastikan anda telah sediakan senarai barang untuk dibeli dan disiplinkan diri anda dengan hanya membeli barang-barang yang ada di dalam senarai tadi sahaja.

Tambahkan Pendapatan

Bagaimana pula untuk menambahkan pendapatan anda? Sebenarnya terdapat banyak cara untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung keperluan. Berikut empat cara untuk menambahkan pendapatan anda.

#1: Jadi pekerja cemerlang
Anda mempunyai pilihan sama ada pertama, untuk bekerja secara sambil lewa, rasa terpaksa dan benci dengan kerjaya anda sekarang atau kedua, anda meningkatkan motivasi, minat, disiplin, bekerja bersungguh-sungguh dan menjadi pekerja cemerlang.

Apa perbezaan antara pekerja cemerlang dan pekerja malas? Sudah tentu kenaikan gaji tahunan mereka tidak sama. Elaun dan bonus juga biasanya akan berbeza. Kenaikan pangkat pula menjanjikan kenaikan gaji anda.

#2: Tingkatkan ilmu anda
Ramai yang saya lihat membuang masa di tempat kerja dengan melayari Internet , chatting dan tidak melakukan apa-apa apabila tiada kerja. Ini adalah suatu kerugian yang besar. Anda sepatutnya menggunakan masa tersebut untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Contohnya, anda boleh bergiat aktif dalam persatuan atau aktiviti berbentuk sukarela di tempat kerja sebagai platform latihan bagi meningkatkan ilmu pengucapan awam, “presentation skill”, “event management” dan pengurusan masa berkesan. Ini adalah ilmu-ilmu yang berguna dalam apa sahaja bidang kerjaya yang anda ceburi.

Selain itu, sebaik-baiknya perlu menjadi pakar dalam bidang kerjaya anda. Kalau anda seorang doktor misalnya, berusahalah untuk menjadi doktor pakar.

#3: Buat Baik dengan semua orang
Di tempat kerja, anda akan berurusan dengan pelbagai jenis orang termasuklah rakan dari jabatan yang sama dan berlainan, kontraktor, konsultan, ketua masyarakat dan sebagainya. Walaupun anda adalah seorang bos atau ketua, layanlah anak-anak buah dengan baik dan adil.

Bina hubungan yang baik dengan seramai mungkin kenalan tidak mengira latar belakang. Kita tidak tahu mungkin suatu hari nanti mereka bakal menjadi bos kita, pelanggan kita, rakan kongsi atau tempat kita meminta bantuan kelak.

#4: Mulakan bisnes secara sambilan (part-time)
Sekiranya anda menguruskan masa dengan baik, anda sebenarnya sempat untuk memperuntukkan beberapa jam pada waktu malam dan hujung minggu bagi menjalankan perniagaan secara part time. Anda boleh manfaatkan minat atau kepakaran anda untuk menjana pendapatan seperti menjadi juru foto, menulis blog dan menjual produk “homemade” (coklat, biskut, anyaman).

Saya mencadangkan anda menceburi perniagaan melalui Internet kerana modal yang minimum serta anda boleh lakukannya dari rumah atau di mana sahaja. Modal permulaan yang anda perlukan hanyalah sebuah komputer dan talian Internet. Anda boleh melakukan pemasaran secara online dan menjual produk fizikal atau digital seperti ebook.

Sekiranya anda tiada produk sendiri, saya cadangkan anda memulakan dengan kaedah dropship atau affiliate. Ini merupakan antara strategi yang telah saya cuba dan membuahkan hasil.

#5: Ukur Baju di Badan Sendiri
Setiap perbelanjaan yang dapat dikurangkan dan tambahan pendapatan yang diperoleh akan memberi kesan positif serta membantu mengukuhkan lagi status kewangan anda.

Mula-mula, duit lebihan tersebut anda gunakan untuk melangsaikan segala hutang-hutang terlebih dahulu. Kemudian, anda boleh guna lebihan wang anda untuk simpanan. Dengan duit simpanan yang banyak, secara automatik anda akan berasa lega dan lebih selamat. Ketika ini barulah anda mula melabur dan menggandakan lagi wang anda.

Akhir kata, ukurlah baju di badan anda sendiri. Berbelanjalah mengikut kemampuan anda. Berpijaklah di bumi yang nyata. Jangan mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Apa yang penting, pastikan PERBELANJAAN anda kurang daripada PENDAPATAN anda.

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here