Home All Pengetahuan Am Pernah Nampak Orang Kumpul Air Tepi Bukit, Bolehkah Minum Terus?

Pernah Nampak Orang Kumpul Air Tepi Bukit, Bolehkah Minum Terus?

11286
0
air
Pernah Nampak Orang Kumpul Air Tepi Bukit, Bolehkah Minum Terus? 1

Pernahkah anda melihat sekumpulan individu mengumpulkan air daripada saliran-saliran air tepi bukit atau tepi jalan dan disimpan di dalam botol?

Mereka berkumpul beramai-ramai sambil menunggu giliran untuk mengambil air tepi bukit yang keluar daripada salur paip yang tertanam di sisi bukit.

Sebenarnya, saluran paip tersebut hanya berfungsi untuk mengeluarkan lebihan air daripada bukit tersebut bagi mengelakkan takungan yang boleh menyebabkan tanah runtuh.

Bukanlah sebagai punca mata air untuk mengumpulkan sumber air.

Banyak kali terfikir, adakah air tepi bukit yang mereka ambil tersebut diminum terus atau dimasak terlebih dahulu? Adakah ia benar-benar selamat untuk diminum terus?

air tepi bukit

Tidak selamat diminum terus

Barangkali ramai yang berfikir, air yang keluar terus daripada permukaan muka bumi adalah selamat untuk diminum terus, atas alasan ia adalah sumber semula jadi. Benarkah tanggapan sebegini?

Walaupun air tepi bukit yang keluar daripada sisi bukit tersebut tidak berkeladak dan berwarna jernih, tidak bermakna bahawa ia selamat untuk diminum secara langsung.

Tambahan lagi, kita tidak mengetahui sumber asal air tersebut, atau apa yang telah dilalui oleh air tersebut sebelum anda mengumpulkannya.

Mengapa anda tidak boleh meminum air tepi bukit tersebut secara langsung?

Sebelum air tersebut sampai ke tempat anda mengumpulnya, air tersebut mungkin telah melalui kawasan lain yang telah tercemar dengan bahan kimia berbahaya, selain mengandungi bakteria, parasit dan virus yang boleh merisikokan kesihatan tubuh.

Anda perlu berhati-hati dengan organisme bawaan air seperti Cryptosporidium, Giardia dan E. coli yang boleh menyebabkan mual, muntah-muntah dan cirit-birit.

Air tepi bukit yang tidak dirawat terlebih dahulu ini mungkin mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kesan kesihatan jangka panjang seperti kerosakan hati dan buah pinggang.

Antara jenis bahan kimia berbahaya yang boleh terkandung dalam air yang tidak dirawat adalah:

  • Arsenik: boleh menyebabkan kanser pundi kencing, buah pinggang dan kulit
  • Fluorida: boleh menyebabkan fluorosis iaitu penyakit yang disebabkan oleh pengambilan fluorida secara berlebihan
  • Kromium: boleh menyebabkan kanser dan masalah pernafasan
  • Perchlorate: boleh menyebabkan hipotiroidisme
  • Plumbum: boleh menyebabkan anemia dan serangan penyakit secara tiba-tiba
  • Logam radioaktif: pendedahan jangka waktu yang lama boleh menyebabkan kanser kulit
  • Pencemaran kawasan sekitar

Air jenis ini boleh memberikan risiko yang lebih besar terhadap golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas.

Anda tidak boleh menganggap segala yang dihasilkan secara semula jadi adalah selamat untuk diambil secara terus.

Anda mungkin lupa bahawa persekitaran yang sedang kita sedang diami ini bukanlah satu persekitaran yang benar-benar semula jadi lagi.

Hampir kesemua kawasan telah tercemar sama ada di udara mahupun di darat dan lautan.

Air pula merupakan salah satu elemen yang paling teruk dan mudah terkesan akibat pencemaran ini.

Oleh itu, kesemua sumber air yang anda peroleh, perlulah ditapis dan dirawat terlebih dahulu sebelum diminum.

Daripada anda bersusah payah mengumpulkan air di tepi jalan atau bukit yang belum pasti bersih dan selamat, guna sahajalah air paip di rumah dan pastikan ia dimasak dan ditapis sebelum diminum.

Air paip di rumah anda tersebut sudah dirawat dan lebih bersih berbanding air di tepi jalan tersebut.

Tidak perlulah berpenat untuk beratur mengumpulkan air seolah-olah tidak terdapat bekalan air di rumah anda.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here