Home All Petua Kesihatan Diri Jangan Buat Main Masalah Tulang Rapuh, Baca Peringatan Doktor Ini.

Jangan Buat Main Masalah Tulang Rapuh, Baca Peringatan Doktor Ini.

3033
2
Jangan Buat Main Masalah Tulang Rapuh, Baca Peringatan Doktor Ini.

Tulang rapuh atau osteoporosis adalah satu keadaan kehilangan kepadatan tulang, mengakibatkan tulang-tulang rapuh dan mudah patah. Ia biasa berlaku di kalangan mereka yang meningkat usia dan golongan wanita selepas menopaus, bila badan tidak lagi dapat menggantikan tisu-tisu tulang yang lama dengan tisu baru yang lebih sihat.

Apabila usia meningkat, anda juga akan mengalami kekurangan kepadatan tulang, menyebabkan tulang menipis. Tulang akan mudah jadi rapuh dan mudah patah, terutamanya tulang belakang, pergelangan tangan dan tulang pinggul.

Tulang adalah tisu hidup yang membaiki sendiri secara berterusan. Ia terdiri dari bahagian luar yang keras, mengandungi jaringan kolagen (serat elastik yang kuat), bahan mineral, salur darah dan sum-sum tulang. Tulang yang sihat biasanya amat padat dan ruangan di antara tulang adalah kecil. Dalam kes osteoporosis, ruangan adalah besar. Ia menjadikan tulang lemah dan kurang elastik.

Tulang yang dibaiki diperteguhkan dengan pelbagai zat protein dan mineral yang diserap dari saluran darah. Ini termasuk kalsium, fosforus, protien dan juga asid amino. Hormon pertumbuhan dan hormon seks mengawal jumlah mendapan bahan mineral dalam tulang.

Perubahan pada paras hormon boleh memberi kesan ke atas kekuatan tulang. Sebagai contoh, hormon estrogen bagi wanita boleh mencegah osteoporosis. Selepas menopaus, paras estrogen menurun, menyebabkan tulang menipis dengan cepat. Osteoporosis atau tulang rapuh lebih kerap berlaku dan boleh menjadi lebih teruk.

TANDA-TANDA OSTEOPOROSIS ATAU TULANG RAPUH

tulang rapuh

Osteoporosis atau tulang rapuh mengambil masa beberapa tahun untuk terjadi. Gejala pada mulanya tidak begitu ketara pada peringkat awal dan boleh mengambil beberapa bulan dan tahun untuk muncul. Tanda osteoporosis termasuklah sakit sendi, sukar untuk berdiri lurus atau duduk atau kepatahan tulang tanpa hentaman atau hentakan.

Apabila tulang menjadi nipis (rendah dalam jisim tulang), tulang pergelangan tangan, tulang pinggul atau tulang spinal (vertebra) lebih senang patah. Batuk atau bersin mungkin menyebabkan patah tulang dada (rib) atau berpotensi untuk tulang belakang reput.

Kepatahan tulang dalam usia lanjut boleh menjadi serius, kerana tulang tidak boleh membaiki diri sendiri dengan berkesan. Ini boleh menyebabkan kepada artritis dan mungkin menyebabkan kecacatan bagi setengah warga emas kualiti hidup mereka terjejas. Sesetengah warga emas tidak boleh hidup berdikari jika mengalami kecederaan.

Bongkok yang biasa berlaku di kalangan warga emas adalah satu gejala osteoporosis. Ia berlaku apabila tulang vertebra patah (atau pecah) membuatkan susah untuk menyokong berat badan.

PUNCA OSTEOPOROSIS ATAU TULANG RAPUH

Tulang tebal dan kuat semasa remaja. Pada sekitar umur 35 tahun, lebih banyak tisu tulang yang hilang daripada yang diganti. Ini menyebabkan tulang menjadi nipis dan lemah. Orang yang kerap melakukan senaman semasa muda, dan masih aktif semasa berumur, kurang risiko osteoporosis, kerana tulang masih kuat.

Ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko anda mendapat osteoporosis. Wanita berisiko lebih tinggi mendapat osteoporosis berbanding lelaki. Ini disebabkan penurunan hormon oestrogen selepas menopaus. Wanita berisiko tinggi apabila :

1. Mengalami menopaus awal sebelum umur 45 tahun.

2. Menjalani pembedahan histerektomi (pembuangan organ rahim) sebelum berusia 45 tahun, terutama jika ovari dibuang sekali.

3. Tidak datang haid dalam jangka masa lama (lebih dari 6 bulan) disebabkan senaman berlebihan atau makan berlebihan Hormon lelaki, iaitu testosteron juga menolong menjadikan tulang sihat. Lelaki menghasilkan hormon secara berterusan walaupun usia lanjut, tetapi berisiko mendapat osteoporosis jika paras hormon rendah.

Penyakit yang menjejaskan penghasilan hormon boleh menyebabkan osteoporosis. Hormon wanita, estrogen dan hormon lelaki, testosteron adalah penting untuk menjadikan tulang kuat, dengan memproseskan mineral seperti kalsium. Osteoporosis boleh tercetus oleh masalah hormon. Antaranya ialah :

1. Hipertiroidism (kelenjar tiroid yang sangat aktif)
2. Gangguan kelejar adrenal.
3. Kurang pengeluaran hormon seks (estrogen dan testosteron)
4. Gangguan di kelenjar pituitari
5. Kencing manis

Fakta-fakta lain yang akan meningkatkan risiko mendapat osteoporosis atau tulang rapuh termasuklah :

  1. Sejarah osteoporosis di kalangan keluarga yang terdekat (ibu bapa)
  2. Tidak aktif dalam jangkamasa lama seperti terlantar di katil
  3. Kerap mengambil minuman keras dan merokok
  4. Gangguan penyerapan seperti ‘Coeliac disease’ dan Crohn’s disease
  5. Penggunaan ubat korti kosteroid pada dos yang tinggi bagi tempoh yang lama (selalunya digunakan bagi rawatan arthritis dan asma) boleh memberi kesan kepada kekuatan tulang.
  6. Kekurangan kalsium
  7. Paras vitamin D rendah
  8. Jisim badan yang sangat rendah (contoh, berat badan yang kurang atau mempunyai tulang yang menipis akibat kecelaruan gaya pemakanan)

KOMPLIKASI TULANG RAPUH

Osteoporosis menyebabkan badan menjadi rendah serta bongkok akibat kepatahan tulang belakang (spinal). Ini bermakna tulang belakang tidak lagi mampu untuk menyokong berat badan. Kebiasaannya kemalangan kecil boleh menyebabkan patah atau rentak di pergelangan tangan, lengan, leher atau tulang pinggul.

Sesetengah orang menjadi tidak berupaya kesan daripada tulang yang rapuh. Penggantian semula tulang pinggul selalunya diperlukan sekiranya ia patah, dan ini akan menyebabkan pesakit tidak mampu berjalan sendiri. Walaupun osteoporosis tidak memendekkan jangka hayat manusia, ketidakupayaan bergerak sendiri menjadi sebab utama kemasukan ke rumah penjagaan.

BACA: Inilah Doa Penawar Bagi Patah Tulang Atau Retak

RAWATAN UNTUK TULANG RAPUH

Rawatan untuk Osteoporosis ialah terapi gantian hormon (Hormone Replacement Therapy). Terapi ini membantu wanita yang bakal menopos dengan mengekalkan keupayaan tulang dan mengurangkan kepatahan tulang sepanjang rawatan. Walau bagaimapunpun HRT tidak selalu disyorkan sebagai rawatan pertama osteoporosis kerana mampu meningkatkan risiko mendapat strok, sakit jantung dan juga kanser payu dara. Anda perlu berbincang dengan doktor mengenai kebaikan dan risiko HRT.

Antara rawatan yang lain ialah Selective Estrogen Receptor Modulators (SERMs). Ia adalah ubatan yang mengurangkan risiko kepatahan terutama tulang belakang.

Selain itu, kalsium dan vitamin D tambahan amat berguna untuk lelaki dan wanita bagi mengelakkan risiko kepatahan tulang pinggul. Pengambilan kalsium yang mencukupi dalam pemakanan semasa muda sangatlah penting bagi mengurangkan risiko terutama wanita. Anda perlu 1000mg kalsium setiap hari iaitu bersamaan dengan segelas susu.

PENCEGAHAN TULANG RAPUH

Amalan cara hidup yang sihat, seperti pemakanan dan senaman boleh mempengaruhi kesihatan tulang anda. Mengamalkan cara hidup sihat melambatkan berlakunya kejadian osteoporosis. Senaman yang berkala amat diperlukan. Cuba lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit 3 kali seminggu.

Dua jenis senaman yang penting untuk mengukuhkan kepadatan tulang bagi mencegah osteoporosis adalah senaman ‘weight bearing’ dan senaman ‘resistance’. Jogging, lompat tali (skipping), senaman aerobik dan melompat atas dan bawah ditempat yang sama baik untuk kekuatan tulang.

Bagi mereka yang berusia, senaman ringan dan selamat, seperti berjalan, main tenis, berenang amat berguna. Untuk orang yang lebih tua, senaman perlu bersesuaian dan selamat, seperti berjalan perlahan, menaiki tangga 10 kali sehari, permainan tenis yang sederhana.

Amalan cara hidup yang boleh membantu mencegah osteoporosis termasuklah makan makanan yang mengandungi zat kalsium yang tinggi, berhenti merokok dan hadkan jumlah pengambilan minuman alkohol.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

BACA: Pesakit Kanser Menyewa Rumah Kayu Dalam Kebun Getah, Suami Pula Hilang Kerja.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here