Inilah 8 Tanda Bayi Ada Alahan Susu Formula Yang Diminum

Pernah tak bayi anda tiba-tiba mengalami bintik merah atau muntahkan semula susu formula yang diberikan? Mungkin bayi anda mengalami alahan susu formula.

Tidak dapat dinafikan bahawa susu badan ibu adalah sumber nutrien terbaik buat seseorang bayi itu. Malahan semua ibu mahu menyusukan anak mereka sejurus selepas bayi dilahirkan. Menyusukan bayi adalah “bonding time” antara seorang ibu dengan anaknya.

Malangnya bukan semua ibu berpeluang untuk menawarkan susu semula jadinya setiap kali si kecil ingin menyusu. Kadangkala mereka terpaksa bergantung pada susu formula yang dijual di pasaran.

Walaupun susu formula sangat menyenangkan, ibu bapa tetap perlu berhati-hati kerana si kecil mungkin mempunyai alahan tenusu (dairy allergy) yang berpunca daripada formula berkenaan.

Tahukah anda tanda-tanda yang menunjukkan sekiranya susu formula yang dibeli itu tidak sesuai untuk anak anda?

Menurut theAsianparents, antara gejala utama alahan susu formula yang boleh dikenal pasti adalah menerusi reaksi bayi iaitu bergantung pada jumlah susu yang diambil.

Tanda si kecil mungkin alahan susu formula itu boleh dilihat seawal satu minggu selepas anak anda mula meminum susu formula berkenaan atau mungkin lebih awal.

Malangnya, tiada ubat yang mampu merawat alahan susu formula ini. Sebagai ibu bapa, anda patut peka dan cuba elakkan anak anda daripada mengambil produk tenusu atau susu lembu.

Tanda-Tanda Alahan Susu Formula pada Anak Anda

tanda alahan susu formula

1. Dia mengalami cirit-birit atau sembelit

Pastikan jika anak anda ada alami sembelit atau mengeluarkan najis cair berserta darah. Jika hal ini dibiarkan, anak anda boleh kehilangan berat badan. Akhirnya tumbesarannya boleh terbantut.

2. Perutnya sakit atau kembung

Adakah anak anda sakit perut setelah meminum susu lembu atau formula? Jika ya, anda boleh sapukan ubat untuk hilangkan rasa tidak selesa. Tetapi jika ia berlarutan, sila berjumpa doktor.

3. Bintik merah timbul pada kulitnya

Selalunya perkara ini berlkau apabila seseorang bayi itu terdedah pada suhu yang panas atau setelah dia berpeluh. Pada masa yang sama, ia juga boleh menjadi satu daripada tanda bagi alahan.

4. Dia mengalami masalah pernafasan

Alahan juga akan menjejaskan sistem pernafasan seseorang itu. Ia akan menyebabkan lendir terbentuk pada saluran pernafasan, jadi nafas bayi anda akan berbunyi.

Selain itu, bayi anda akan selalu bersin, hidungnya gatal dan matanya menjadi kemerahan.

5. Dia muntah

Jika bayi anda muntah-muntah, jangan disangka ia terjadi kerana dia minum susu terlalu banyak, atau tidak gemarkan rasanya.

Sebenarnya ada kemungkinan bayi anda rasa tidak selesa atau kerongkongnya terasa sesak.

6. Badannya naik ruam

alahan susu formula

Satu lagi gejala alahan yang biasa ialah ruam. Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh mendatangkan risiko kesihatan yang lebih membimbangkan seperti ekzema dan asma.

7. Dia batuk-batuk

Mula-mula, suara bayi anda berbunyi serak-serak, tetapi jika alahan ini bertambah teruk, dia akan mula kerap batuk setelah meminum susu formula ini.

8. Hidung atau matanya mula berair

Ramai orang yang mengalami alahan akan merasa gatal-gatal pada anggota badan mereka. Untuk mengenal pasti jika anak anda melalui perkara yang sama, periksa sama ada hidung atau matanya berair atau tidak.

Jika keadaannya teruk, dia akan ingin menggaru bahagian berkenaan kerana rasa gatal.

Ingatlah bahawa simptom-simptom alahan susu formula ini biasa berlaku pada awal peringkat kanak-kanak dan alahan hanyalah salah satu di antara penyebabnya.

Lebih sukar untuk mengesan sama ada bayi anda sedang mengalami reaksi alahan tertangguh kerana ia melibatkan bahagian-bahagian sistem pertahanan badan (sistem imun) yang mengambil masa lebih panjang untuk bertindak balas.

Doktor dan pakar pemakanan akan bekerjasama dengan anda untuk merumuskan pelan pemakanan yang tidak melibatkan alahan susu formula untuk bayi anda. Ini boleh jadi satu proses yang panjang, di mana pakar pemakanan akan menyemak simptom-simptom yang ditunjukkan oleh bayi dan secara beransur-ansur memperkenalkan semula susu di dalam dietnya untuk melihat sama ada simptom-simptom tersebut kembali ataupun tidak.

Sentiasalah berjumpa doctor atau pakar pemakanan sebelum mengeluarkan sebarang kumpulan makanan daripada diet bayi anda.

Jika bayi anda alah terhadap susu dan dia diberi susu formula, berbincanglah dengan doctor sebelum menukar susu tersebut. Sekadar menukar susu kepada produk berasaskan soya bukanlah jawapannya kerana bayi yang alahan susu formula juga boleh alah terhadap soya.

Hakikatnya, pakar-pakar tidak menyarankan formula berasaskan soya untuk bayi berusia di bawah enam bulan. Bayi anda mungkin perlukan formula yang hipoalergenik, yang bermakna ia tidak mendatangkan reaksi alahan terhadapnya.

Ia boleh didapati dalam bentuk susu formula berasaskan asid amino atau yang kuat dihidrolisis. Formula hipoalergenik boleh didapati di sesetengah farmasi di Malaysia. Jika anda sukar mendapatkan formula khas ini, anda boleh meminta pakar kanak-kanak supaya memberikan anda nombor wakil syarikat pengedar susu yang boleh anda hubungi.

Jika bayi anda mengalami intoleransi laktosa, ini adalah keadaan yang berbeza daripada alahan. Ia bermakna bayi anda mempunyai masalah untuk menghadam laktosa, iaitu gula yang terkandung di dalam susu. Ada kemungkinan dia kekurangan enzim laktase yang diperlukan untuk menguraikan laktosa.

Bayi anda mungkin mengalami intoleransi laktosa untuk jangka masa pendek selepas dia diserang flu perut (gastroenteritis). Jika bayi anda minum susu formula, doctor akan menasihatkan anda supaya memberinya susu formula bebas laktosa untuk sementara waktu.

Kesimpulannya, adakah bayi anda menunjukkan mana-mana gejala alahan susu formula yang dinyatakan? Jika ya, berhenti daripada memberinya susu formula dan sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor dengan segera.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

six + eleven =