Ketahui Tanda-Tanda Awal Penyakit Leukemia Pada Anak Anda
Ibu bapa, cuba perhatikan sama ada anak anda mudah letih, nafas pendek, mudah terkena jangkitan penyakit, lebam di badan dan hilang selera makan. Jika jawapannya ya, segera bawa anak berjumpa doktor kerana ia mungkin tanda awal penyakit leukemia.
Leukemia ialah satu daripada barah yang berpunca daripada pertambahan sel darah putih. Ini memudaratkan kesihatan kerana boleh menyebabkan kerosakan sel darah merah.
Ini memudahkan jangkitan, mengurangkan sel darah putih matang selain membantutkan pertumbuhan platelet iaitu bahan utama dalam kandungan darah.
Pakar Pediatrik Hospital Columbia Asia, Dr Khairul Zaman Omar berkata, tiada sebab mutlak seseorang diserang leukemia, namun ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.
“Antara faktor kanak-kanak dijangkiti leukemia ialah sejarah keluarga yang mengalami sakit sama atau barah, pernah terkena jangkitan virus Epstein-Barr (tidak semua), selepas membuat rawatan kemoterapi dan mengalami penyakit sindrom Down, sindrom fragile-X (sindrom reput-X) serta sindrom Fanconi.
“Leukemia boleh berlaku kepada sesiapa saja, sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Orang dewasa lebih berisiko mendapat penyakit ini apabila sering terdedah kepada sinaran.
Di kawasan tertentu dunia, seperti barat daya Jepun, bahagian Afrika dan Caribbean, sejenis leukemia tertentu boleh merebak di kalangan penduduk tempatan disebabkan virus dikenali sebagai Human T cell lymphotropic virus (HTLV).