Perbezaan Pendapatan Isi Rumah Golongan B40, M40 Dan T20 Yang Anda Harus Tahu

Perbezaan Pendapatan Isi Rumah Golongan B40, M40 Dan T20 Yang Anda Harus Tahu | Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bernilai RM250 bilion diberi kepada semua rakyat Malaysia mengikut kategori yang ditetapkan.

Berdasarkan pakej ini, sebanyak RM10 bilion dimanfaatkan dalam Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk disalurkan kepada rakyat yang layak memenuhi kriteria kategori B40 dan M40. Pemberian bantuan secara one-off ini dipercaya mampu memulihkan kembali pergerakan ekonomi negara kesan akibat wabak COVID-19.

Tetapi, masih ramai yang keliru dengan kategori yang dinyatakan dalam pemberian bantuan ini. Secara kasarnya, pendapatan isi rumah rakyat Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori utama, B40 (40 peratus terendah), M40 (41 peratus hingga 80 peratus) dan T20 (20 peratus tertinggi). Perbezaan kategori ini dilihat menerusi pendapatan bulanan isi rumah yang diperoleh.[expander_maker id=”1″ more=”TERUSKAN MEMBACA” less=”ARTIKEL LAIN”]

Bahasa mudahnya, kategori B40 adalah kategori pendapatan rendah, M40 adalah kategori pendapatan sederhana dan T20 adalah kategori pendapatan tinggi. Sesebuah negara wajib menyasarkan untuk membantu golongan B40.

Garis pemisah pendapatan isi rumah

Penentuan kelas pendapatan B40, M40 dan T20 di Malaysia adalah berdasarkan garis pendapatan. Namun definisi ini tidak tetap dan bergantung kepada penyata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Peratus populasi negara mungkin naik atau turun dari tahun ke tahun.

  • Golongan B40 – pendapatan isi rumah RM 4,360 dan ke bawah.
  • Golongan M40 – pendapatan isi rumah RM4,361 hingga RM 9,619.
  • Golongan T20 – pendapatan isi rumah RM 9,620 dan ke atas.

Pendapatan Isi Rumah

Golongan B40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Nilai PGK nasional adalah RM950 sebulan.

Kerajaan perlu membantu golongan B40 untuk mengelakkan kemiskinan dan jurang ekonomi yang terlalu jauh dengan golongan yang lain. Jurang ekonomi ini akan menyebabkan ketidakseimbangan sosioekonomi.

Oleh itu, golongan B40 layak menerima pelbagai manfaat daripada pemberian BPN dalam usaha meringankan beban kos sara hidup yang tinggi terutama di bandar-bandar besar.

Golongan M40

Golongan berpendapatan di kelas pertengahan ini dikira sebagai pemacu kepada ekonomi dan penting terhadap kesejahteraan negara. Golongan M40 adalah golongan yang menyumbang kepada perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta di Malaysia.

Selain itu, golongan M40 juga sebagai kumpulan yang penting kepada sumber manusia, pelaburan dan keusahawanan. Kesan wabak COVID-19 juga bakal memberi tekanan kepada pendapatan golongan M40. Oleh itu, fokus utama BPN dikhususkan kepada golongan B40 dan M40 sahaja.

Golongan T20

Manakala yang terakhir, golongan T20 ini adalah penggerak kepada ekonomi dan merupakan majikan kepada B40 dan M40. Penjelasan tiga kategori ini pastinya akan memudahkan orang ramai untuk membuat permohonan di dalam inisiatif yang diumumkan sebelum ini iaitu Bantuan Prihatin Nasional.

Bermula 1 April ini, rakyat Malaysia sudah boleh memohon untuk mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional melalui saluran yang diberikan. Bagi anda yang ingin mengetahui cara-cara untuk membuat permohonan dan semakan, boleh klik pautan di bawah.

Sumber[/expander_maker]

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

20 − 19 =