5 Tip Hadapi Mak Ayah Yang Nyanyuk Selain Banyakkan Bersabar

BUAT pertama kalinya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan garis panduan berhubung pencegahan dan pengurusan penyakit dementia (nyanyuk). Dalam masyarakat Malaysia, dementia dikenali sebagai nyanyuk.

Risiko nyanyuk boleh dikurangkan dengan:

  1. Banyak melakukan aktiviti fizikal/ bersenam
  2. Berhenti merokok
  3. Amalkan pemakanan sihat
  4. Jauhi minuman beralkohol
  5. Mengawal dan merawat darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes

Penyakit dementia ialah penyakit yang mengganggu fungsi otak, dan akan berlaku secara berterusan (progresif). Ia menyebabkan penurunan fungsi mental sehingga mengganggu aktiviti harian seseorang.

Antara fungsi otak yang menerima kesan dalam penyakit dementia ialah kehilangan memori, proses berfikir dan tabiat sosial.

Tiada rawatan untuk memulihkan penyakit ini tetapi rawatan hanya diberikan untuk mengelak ia menjadi lebih teruk. Dianggarkan 50 juta orang menghidap dementia di seluruh dunia dan hampir 10 juta pesakit baharu setiap tahun.

Apabila seorang anak perlu menjaga ibu ayah yang masih sihat, itu biasa. Tapi apabila seorang anak perlu menjaga ibu yang sudah mencapai usia nyanyuk, itu sungguh luar biasa. Hanya orang-orang terpilih saja yang diberi kekuatan untuk melakukannya.

Serius! ia bukan satu kerja yang mudah. Terutama dalam hal mahu menahan SABAR atas setiap tindakan ibu ayah yang semakin lupa. Walau untuk mengingati peristiwa yang berlaku seminit yang lalu.

Apabila Allah memberikan ujian untuk anda pikul tanggungjawab sebegitu;

nyanyuk, jaga ibu bapa nyanyuk, masalah ibu bapa nyanyuk, tip jaga ibu bapa nyanyuk

Pertama : Anda akan mula rasa terbeban, kerana ia bukan satu rutin yang mudah.

Kedua : Emosi anda akan bercampur baur antara kuat dan lelah.

Ketiga : Anda pasti akan berdoa moga tuhan hadirkan seorang penyelamat yang dapat mengambil alih tugas anda.

Ada banyak lagi perasaan yang akan anda lalui. Namun, telan saja semua itu, serahkan pada yang Esa. Tapi sebagai manusia biasa kita tetap kadang terlupa dan terbabas dari sifat sabar.

Jadi, ini tip untuk anda-anda yang ketika ini perlu menjaga ibu ayah yang berhadapan masalah nyanyuk atau Alzheimer

1. Beri Jawapan Yang Sama

Ibu ayah yang nyanyuk mereka tidak akan dapat mengingat walau kejadian seminit yang lalu. Setiap saat adalah perkara baru buat mereka. Anda yang berhadapan dengannya akan jadi cepat lelah. Letih nak menjawab banyak kali. Tapi, jawab sajalah dengan jawapan yang sama.

Jangan diubah-ubah, kerana jawapan yang berubah-ubah akan lebih membuatkan mereka kebingungan dan akhirnya emosi mereka akan berubah. Menjadi marah dan cepat perengus. Jika sudah terlalu lelah mahu menjawab, tanyakan kembali soalan yang sama pada mereka. Nanti anda lihat apa reaksi ibu atau ayah yang terlupa-lupa ini.

2. Jangan Cabar

Pantang untuk ibu atau ayah yang nyanyuk ini untuk diajak berdebat, atau anda cuba membetulkan keadaan salah mereka. PERCAYALAH! mereka takkan faham pun. Kerana pada mereka, kita cuma mahu mempersendakan mereka sebenarnya. Jadi, berlembutlah. Jika kata-kata mereka tak masuk akal fikiran anda sekalipun, ajarlah fikiran kita untuk dengar dan lepaskan. Jangan masuk membawa sampai ke hati. Kerana akhirnya nanti anda yang keletihan.

3. Ketenangan Itu Wajib

Mereka yang diserang keadaan nyanyuk ini amat tidak boleh menerima perubahan. Hatta, perubahan itu cuma melibatkan kedatangan tetamu di rumah anda. Bermacam-macam persoalan akan bermain di fikiran. Jika tiba-tiba rumah anda akan didatangi adik beradik yang lain, bawalah ibu atau ayah di bilik yang lain. Biar dia tenang di situ. Tapi, dia pasti tidak akan duduk diam setempat.

Jika habitnya berjalan-jalan di sekitar rumah, biarkan saja. Jangan dilarang, atau memberi terlalu banyak arahan. Dia akan bertambah rungsing dan emosinya akan cepat berubah menjadi marah-marah. Ajarlah anak-anak agar hormatkan ibu dan ayah yang terlupa-lupa itu. Minta mereka jangan buat perangai dan layankan saja perangainya.

4. Banyakkan Berzikir

Anda juga perlu ada kekuatan jiwa yang ampuh. Jangan sampai terleka untuk tidak berzikir. Ini Kerana kelekaan itu akan membuatkan anda sama-sama larut dan gagal mengawal emosi sabar. Amalkan membaca istighfar, doa al Mathurat, surah-surah pilihan serta konsisten solat awal waktu dan tambahan solat sunat. Ini benteng kekuatan jiwa.

5. Sokongan Padu Suami Isteri

Jika yang berhadapan masalah nyanyuk ini adalah ibu atau ayah mentua anda, terima saja hakikat itu. Jangan merungut kerana tanpa mereka tiadalah pasangan anda itu. Tapi dalam hal ini, pasangan andalah kena ambil peranan utama. Terangkan juga apa yang anda rasa sepanjang menjaga ibu atau ayah mentua yang nyanyuk itu.

Biar mereka tahu apa yang anda lalui. Walaupun kadangkala tidak berjumpa jalan penyelesaian, sekurang-kurangnya suami atau isteri faham isi hati anda. Kelak, bolehlah sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian, walaupun ia akan ambil masa yang panjang.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

eighteen + one =