Macam Mana Nak Servis Kereta Jarang Guna dan Pandu Jarak Dekat, Perlu Ikut Masa atau Mileage?

Macam Mana Nak Servis Kereta Jarang Guna dan Pandu Jarak Dekat, Perlu Ikut Masa atau Mileage? | Abang, kalau ikut mileage, kereta saya patut servis setiap 10,000km. Tapi, saya jarang bawa kereta. Betul ke servis kereta kena ikut mileage atau bulan, atau mana satu sampai dulu. Boleh tak saya servis ikut mileage saja. Kereta tak jalan sangat pun. Waranti pula macam mana?

– Emma Mambo (bukan nama sebenar)

Terima kasih kerana bertanya. Sebenarnya ada ramai pemilik kereta macam saudari yang beli kereta tetapi jarang pandu atas pelbagai alasan. Antaranya, lebih cepat ke pejabat kalau bermotosikal, atau naik pengangkutan awam, atau tumpang kereta kawan, ataupun sebab tidak tahan menanggung kos minyak dan servis kereta. Tidak kisahlah apapun alasan saudari kerana di penghujungnya saudari jugalah yang perlu menempuh suka duka bersama kereta sendiri.

Begini,

SERVIS KERETA MEMANG PERLU DILAKUKAN

Alasan utama kenapa kereta perlu diservis atau disenggara adalah untuk menjaga kondisi kereta supaya dapat terus beroperasi pada tahap optimum. Sebagai objek yang memang dicipta untuk bergerak, kereta terdedah kepada masalah haus dan lusuh atau dalam Bahasa Inggeris disebut wear and tear. Jadi, ia perlu sentiasa diperiksa dan diservis secara berkala berdasarkan tempoh senggara ditetapkan pengeluar.

Tetapi itu bukan bermakna, jika kereta jarang digunakan atau cuma dipandu jarak dekat, maka saudari tidak perlu menyenggara. Ingat, kereta yang terbiar lama, atau jarang dipandu bukan seperti set pinggan mangkuk yang disimpan lama dalam kabinet dapur dan cuma perlu dicuci sebelum boleh digunakan.

USIA DAN PENGGUNAAN

Sebagai makluman, masalah haus dan lusuh komponen kereta berpunca daripada DUA faktor:

  • Usia
  • Penggunaan

* Salah satu atau kedua-dua sekali.

Komponen yang kerap haus dan lusuh disebabkan PENGGUNAAN ialah seperti brek cakera, pad brek, bering dan bahagian mekanikal lain, bergantung kepada gaya dan kekerapan saudari memandu. Pad brek misalnya, perlu diganti apabila sudah nipis dan tempoh penukaran bagi setiap pemandu tidak sama.

Logiknya, kereta yang kerap dipandu lebih cepat mengalami masalah kehausan pad brek berbanding kereta jarang dipandu. Analogi lain, kasut yang selalu dipakai berlari, lebih cepat haus berbanding kasut khas untuk majlis makan malam.servis kereta

HAUS DAN LUSUH AKIBAT USIA

Namun, kereta juga mengalami masalah haus dan lusuh akibat USIA yang boleh kita kaitkan dengan masa. Antara komponen kereta yang mengalami masalah berkaitan usia (atau masa) ialah bendalir seperti minyak enjin dan minyak brek, termasuk bateri dan komponen berasaskan getah seperti tayar, bilah pengelap dan sesendal (bushing) suspensi.

Faktor kedua – USIA – inilah yang boleh dikaitkan dengan isu yang saudari hadapi tentang isu adakah kereta yang jarang digunakan atau dipandu jarak dekat perlu juga diservis mengikut jadual senggara sedangkan jarak perbatuan atau kilometer masih rendah?

Jawapan ringkasnya, YA, perlu!

Ini kerana komponen bendalir seperti minyak enjin, minyak brek, minyak gear atau seumpamanya termasuk dalam faktor haus dan lusuh akibat USIA. Jadi, mahu tidak mahu saudari perlu melakukan servis kerana semua komponen tersebut mengalami proses degradasi apabila sampai tempoh masa tertentu.

DEGRADASI MENGIKUT MASA

Sebaik saja dituang masuk ke dalam kereta, bendalir sebenarnya sudah mengalami degradasi akibat proses kerja dan kehadiran bendasing seperti serbuk atau keladak besi daripada komponen mekanikal kenderaan. Campuran itulah yang perlahan-lahan menyebabkan prestasi sesuatu bendalir itu tidak lagi mampu memberikan perlindungan optimum apabila sampai jangka masa tertentu.

Saudari boleh bayangkan situasi tersebut seperti air bersih yang dibiarkan lama dalam takungan. Apabila sampai tempoh tertentu, saudari akan perasan ada keladak atau lumut di bawah dasar atau tepi takungan tersebut. Inilah yang kita namakan sebagai degradasi dan disebabkan itulah kereta saudari perlu diservis apabila tiba masa ditetapkan walaupun catatan kilometer perjalanan masih sedikit – low mileage.

servis kereta

Lagi contoh mudah tentang masalah haus dan lusuh akibat USIA ialah tayar. Ya, tayar kereta bukan saja perlu ditukar apabila bunga sudah haus atau ‘botak’, tetapi juga perlu diganti apabila sudah sampai hayat penggunaan – lebih kurang 4-5 tahun. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan – degradasi. Dalam jangka masa tertentu, material getah pada tayar kereta anda akan mengalami degradasi, di mana getah tayar akan mengeras dan kurang mencengkam serta rekahan-rekahan kecil mula muncul sekeliling tayar.

Apakah saudari rasa selamat dan selesa memandu dengan tayar begitu walaupun bunga masih tebal? Sekarang, cuba kaitkan situasi tersebut dengan situasi servis kereta mengikut jadual senggara walaupun kereta saudari jarang digunakan atau kurang dipandu. Jadi, ikut saja saranan pengeluar atau jurutera bertauliah.

WARANTI BATAL?

Tentang waranti, ya betul, ia boleh terbatal jika saudari gagal mematuhi jadual penyenggaraan ditetapkan pengeluar. Itulah risiko yang perlu saudari tanggung. Jika sudah habis waranti dan saudari masih berkeras mahu melakukan servis kereta ikut suka hati, saudari tetap perlu menanggung risiko, iaitu risiko kereta saudari tersadai tidak bermaya hingga bercucuran air mata.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

eighteen − 18 =