6 Sebab Ibu Mengandung Perlu Makan Kacang Kuda. Murah Tapi ‘Power’ Manfaatnya

Jangan pandang sebelah mata pada kacang kuda ni. Walaupun kita biasanya jumpa ia dijual di tepi jalan, ia memiliki khasiat yang sangat hebat.

Kacang kuda, atau dalam bahasa inggerisnya chickpeas juga dikenali sebagai garbanzo beans. Ia merupakan sebahagian daripada keluarga legume.

Kacang kuda sebenarnya telah dijadikan makanan sejak beribu tahun lamanya di negara Timur Tengah.

Berikut adalah antara khasiat kacang kuda yang menjadikannya makanan ideal untuk ditambahkan ke dalam diet, terutamanya bagi ibu mengandung.

6 KHASIAT KACANG KUDA BAGI IBU HAMIL

1. TINGGI KANDUNGAN NUTRIEN

Menurut United States Department of Agriculture (USDA), secawan atau 164g kacang kuda yang dimasak membekalkan 269kcal, 14.53g protein, 44.97g karbohidrat, 12.5g serat, 80mg kalsium, 276mg fosforus, 79mg magnesium, 477mg potassium, dan 282µg folat.

Seperti yang kita sedia maklum, ibu mengandung memerlukan keperluan tambahan terutamanya folat dan zat besi yang penting bagi pembentukan janin yang sihat.

Selain itu, kacang kuda juga mengandungi serat, vitamin, mineral yang baik untuk membantu kesihatan ibu.

Ini menjadikan kacang kuda antara makanan yang sangat digalakkan pengambilannya semasa hamil.

2. TINGGI PROTEIN

Ramai vegetarian akan makan kacang kuda disebabkan kandungan proteinnya yang cukup tinggi.

Jadi, bagi ibu yang kurang gemar makan daging ketika mengandung boleh juga makan kacang kuda ini sebagai pengganti kepada sumber protein haiwan.

3. MENGAWAL BERAT BADAN

Protein dan serat dalam kacang kuda akan membuat ibu berasa lebih kenyang. Secara tak langsung, ia dapat membantu mengawal diet ketika hamil. Jumlah kalorinya juga tidak tinggi berbanding snek gorengan yang kurang berkhasiat.

4. RENDAH GI

Kacang kuda memiliki kadar GI yang rendah (low glysemic index). Ini membuatkannya sesuai dimakan oleh ibu mengandung yang mengalami kencing manis (GDM) atau perlu mengawal paras gula dengan ketat.

5. MELANCARKAN PENCERNAAN

Ibu mengandung mungkin ramai yang mengalami masalah pencernaan seperti sembelit atau sering rasa senak perut, pedih ulu hati akibat ketidakhadaman.

Cubalah makan kacang kuda sebab kandungan seratnya dipercayai dapat menambah bakteria baik dalam perut dan sekaligus melancarkan sistem pencernaan dengan efektif.

kacang kuda

6. KURANGKAN RISIKO ANEMIA

Oleh kerana sifatnya yang kaya dengan zat besi, kacang kuda amat sesuai dimakan oleh ibu mengandung terutamanya yang kurang darah atau low HB.

Ia boleh dijadikan salah satu sumber makanan alternatif untuk membantu mencegah anemia ketika hamil.

MUDAH DICARI, SEDAP & MURAH TAPI CUKUP BERKHASIAT

Kacang kuda mudah disediakan dan sedap dimakan sebagai snek sihat. Ia juga boleh dipelbagaikan hidangannya seperti di dalam salad, hummus, atau dimasak dengan pelbagai perasa. Memang sedap kan?

Apapun, jangan lupa bersederhana ya!

*Sumber: Medical News Today, MomJunction

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

eleven − 4 =