Mana Satu Cara Terbaik Memasak Pasta? Guna Air Sejuk atau Air Panas.

Mana Satu Cara Terbaik Memasak Pasta? Guna Air Sejuk atau Air Panas. | Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita pernah memakan pasta malahan pasta merupakan antara pilihan menu untuk mereka yang berdiet. Tetapi adakah anda tahu cara memasak pasta yang lebih baik, sama ada menggunakan air sejuk atau air panas?

Ada perbezaan ke memasak pasta menggunakan air sejuk atau air panas?

Memasak pasta boleh dikatakan sebagai satu perkara yang mudah. Sediakan air dan masukkan pasta, kemudian biarkan sehingga ia masak.

Namun timbul persoalan, adakah boleh memasukkan pasta ke dalam air sejuk atau perlu menunggu sehingga air mendidih?

Isu mengenai sama ada harus memasak pasta dengan air sejuk atau air panas menjadi tular di luar negara. Di mana timbul perbalahan mengenai cara memasak pasta yang betul dalam kalangan peminat pasta.

Terdapat sesetengah individu yang mengatakan harus mendidihkan air di dalam periuk terlebih dahulu sebelum memasukkan pasta untuk dimasak.

memasak pasta

Air sejuk vs air panas

Ada juga beberapa individu yang mengatakan tidak ada beza sama ada memasak pasta dengan air sejuk (suhu bilik) atau air panas mendidih dari aspek rasa atau tekstur.

Cuma apa yang membezakan sama ada memilih memasak menggunakan air sejuk atau air mendidih adalah mengenai masa yang diambil untuk pasta masak sempurna. Tetapi sudah tentu ada yang tidak bersetuju.

Mereka mengatakan, wujud perbezaan di antara kedua-dua teknik ini. Ini kerana apabila memasukkan pasta ke dalam air sejuk terlebih dahulu, ia boleh menyebabkan pasta melekat pada bahagian bawah periuk.

Sementara itu, terdapat juga yang mengatakan, memilih untuk memasukkan pasta ke dalam air mendidih bermaksud anda lebih menyukai untuk mendapatkan pasta yang dimasak sempurna, perfect al dente pasta.

Apa kata pakar?

Menurut tenaga pengajar di International Culinary Center (ICC) yang terletak di New York, sememangnya tiada masalah untuk memasak pasta di dalam air sejuk, cuma mereka mempersoalkan isu mengapa memilih air sejuk berbanding air panas mendidih.

Bagi mereka, jika individu itu memasak pasta di rumah, ia mungkin satu kaedah yang boleh digunakan.

Bagaimanapun, bagi dapur sesebuah restoran, memasak pasta menggunakan air sejuk mengambil lebih banyak masa dan memerlukan perhatian yang lebih berbanding air mendidih.

Kebanyakan tukang masak menganggap bahawa memasak pasta, khususnya pasta segar dalam air mendidih adalah lebih efisien dari aspek masa dan kaedah ini dapat membantu mengekalkan rasa pasta yang lebih baik.

Bagi Profesor Emeritus dalam Kejuruteraan Kimia di University of Barcelona, Claudi Mans, menerangkan “Apabila pasta kering dimasukkan ke dalam air, air akan memasuki ke dalam liang pasta. Air mendidih akan menembusi liang lebih cepat berbanding air sejuk kerana ia mempunyai kelikatan dan tekanan permukaan yang kurang”.

Claudi yang juga merangkap penulis buku The Science of Cooking: A Quick Immersion, turut berkongsi bahawa beliau lebih gemar memasak pasta menggunakan kaedah tradisional, iaitu penggunaan air mendidih dan tidak pernah menggunakan kaedah lain.

Malahan semua pembekal pasta turut mencadangkan penggunaan kaedah berkenaan tidak kira sama ada menu anda untuk famili ataupun untuk berdiet.

Terpulang kepada individu

Sebenarnya, sama ada memasak menggunakan air sejuk atau air panas, kedua-duanya tetap boleh dilakukan untuk memasak pasta anda. Malahan kalau anda mahu, anda boleh merendam pasta anda semalam dan tiada siapa boleh menghalang anda.

Semuanya bergantung kepada anda, jika mahukan pasta dimasak lebih cepat, gunakan air yang mendidih.

Jika sebaliknya dan anda mempunyai masa yang banyak untuk menunggu pasta masak, anda boleh menggunakan air sejuk.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

20 + 15 =