7 Cara Hilangkan Pijar Tangan Yang Terkena Cili

“Selama ni memasak di rumah ok je. Bila pergi merewang, banyak pula cili yang nak dipotong. Sampai pijar habis tangan ni. Macam mana nak hilangkan pijar tangan yang dah terkena cili ni ya?”

Tak kisahlah sama ada anda memotong, menggunting, atau menumbuk cili. Ada sesetengah jenis cili memang kuat pedasnya sampai membuatkan kesannya melekat pada jari-jemari dan juga tangan. Terasa panas, gatal, pedas, dan pedih. Inilah yang dikatakan pijar.

Sebenarnya, ada petua yang diamalkan sejak turun-temurun untuk hilangkan pijar ini dengan hanya menggunakan bahan yang sedia ada di rumah.

1. LUMURKAN GARAM / GULA

Salah satu cara yang paling selalu diamalkan adalah dengan melumurkan garam pada tangan. Biarkan seketika dan selepas itu bilas macam biasa. Atau, boleh juga ambil sebekas air suam dan campurkan sedikit garam. Rendamkan tangan ke dalamnya selama lebih kurang 5 minit atau sehingga rasa pijar semakin reda. Selain menggunakan garam, ada juga yang menggunakan gula dengan kaedah yang sama.

2. GENGGAM BERAS

Satu lagi petua hilangkan pijar yang diajarkan oleh Mak Ayah kita adalah memasukkan tangan ke bekas berisi beras. Kalau nak senang, rendamkan terus ke dalam tong beras. Memang lega. Apapun, pastikan tangan dah dibersihkan dan dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalamnya. Kalau nak genggam beras pun boleh juga. Selepas itu, bilas tangan seperti biasa.

3. SAPU SUSU PEKAT

Seterusnya, kalau ada susu pekat atau susu cair, boleh juga digunakan untuk hilangkan pijar tangan. Kalau ada yang sejuk lagi bagus. Caranya, tuangkan sedikit susu ini ke dalam bekas, kemudian rendamkan tangan dan lumur-lumurkan dengan susu. Rasa pijar akan beransur hilang.

4. SAPU MINYAK MASAK

Ini juga salah satu petua yang selalu diamalkan oleh orang-orang lama, iaitu dengan menggunakan minyak masak. Mudah saja. Ambil sedikit minyak masak, dan sapukan pada bahagian tangan yang terasa pedas tadi.

5. GUNA HAMPAS KELAPA

Kalau ada hampas kelapa, ramaskan tangan di dalamnya. Selepas beberapa minit, rasa pijar akan hilang.

6. RENDAMAN AIR ASAM JAWA

Satu lagi cara yang boleh anda cuba adalah menggunakan asam jawa. Cubalah masukkan sedikit asam jawa ke dalam bekas yang berisi air. Kemudian, rendamkan tangan. Sekejap saja rasa pijar akan hilang.

7. GOSOK TANGAN PADA KELULI

Petua yang akhir ini mungkin kedengaran lucu, tapi ia sebenarnya berkesan. Anda boleh gosokkan tangan pada sinki atau sudu. Selepas beberapa minit, lalukan air pada tangan dan ulang lagi hingga tangan rasa lebih lega.

Selain hilangkan pijar, teknik ini juga dipercayai boleh menghilangkan bau bawang atau bau masakan yang terlekat pada tangan.

SELAMAT MENCUBA!

Senang saja semua petua ini kan? Manalah tahu, bila berlaku nanti boleh dipraktikkan. Kalau terkena pada orang lain, kita boleh tolong sampaikan.

Semoga bermanfaat pada semua.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

two × 1 =