8 Pemanis Tiruan Yang Perlu Anda Tahu, Rasanya Malah Lebih Manis Dari Gula Biasa

8 Pemanis Tiruan Yang Perlu Anda Tahu, Rasanya Malah Lebih Manis Dari Gula Biasa | Seiring dengan peredaran masa, semakin bertambah kecanggihan dalam bidang teknologi termasuk teknologi dalam industri pemakanan.

Terdapat banyak inovasi yang telah dibuat dalam menambah pemilihan makanan. Hal ini kerana untuk menambah lebih banyak alternatif produk makanan sama ada alternatif yang lebih murah ataupun yang lebih sihat.

Umum mengetahui banyak keburukan jika gula diambil secara berlebihan. Oleh itu, masyarakat mula mencari alternatif bahan pemanis selain gula yang lebih sihat.

Namun, ramai tidak mengkaji dengan lebih teliti alternatif pemanis buatan ini. Adakah ianya benar sihat ataupun sebaliknya.

Ikuti perkongsian helloDOKTOR yang berkongsi 8 jenis pemanis buatan yang digunakan dalam industri makanan.

pemanis tiruan

Ibu bapa yang mencari produk pengganti gula atau produk makanan kurang gula untuk anak-anak perlu berhati-hati.

Ini kerana anda mungkin mengurangkan pengambilan gula, tapi dalam masa yang sama mengambil pemanis buatan yang kesannya lebih buruk.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemanis buatan atau gula buatan ini?

Apakah sebenarnya pemanis buatan

Pemanis buatan adalah sejenis bahan kimia yang ditambah dalam makanan atau minuman untuk membuatkannya rasa manis.

Rasanya sama dengan gula biasa namun ia mempunyai tahap kemanisan beribu kali ganda berbanding gula yang kita biasa ambil.

Antara faktor utama penggunaan pemanis buatan ini adalah kerana ia hampir tidak mempunyai kalori dan kos penghasilannya yang jauh lebih murah.

Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), setiap 1 daripada 4 kanak-kanak didapati mengambil pemanis yang tidak berkhasiat (nonnutritive sweetener) atau kata lainnya, pemanis buatan.

Apa yang lebih mengejutkan, 80% daripada kanak-kanak ini mengambil pemanis buatan setiap hari melalui pemakanan mereka.

8 jenis pemanis buatan yang sering digunakan dalam industri makanan

Berikut merupakan 8 jenis gula buatan yang sering ada dalam makanan dan juga minuman.

#1. Sakarin (saccharin)

Gula buatan ini mula dihasilkan dan digunakan pada tahun 1879. Ia biasa digunakan dalam minuman, jus buah-buahan, yogurt dan juga jeli.

Tahap kemanisan yang dimilikinya adalah antara 200 hingga 700 kali ganda berbanding gula biasa. Namun, sakarin tidak mengandungi sebarang kalori.

#2. Aspartam (aspartame)

Ia biasa dijual dengan jenama seperti NutraSweet, Equal atau Sugar Twin. Tahap kemanisan aspartam sebanyak 200 kali ganda lebih manis berbanding gula biasa.

Ia adalah sejenis gula buatan yang tidak tahan terhadap haba dan akan kehilangan rasa manisnya apabila dipanaskan. Oleh itu, ia jarang digunakan dalam produk roti atau kek.

#3. Acesulfame potassium

Gula buatan ini turut dikenali dengan nama acesulfame K atau Ace-K.

Ia biasa diletakkan dalam pemanis mulut sejuk beku, gula-gula, minuman, produk roti dan kek serta air berkarbonat jenis diet.

#4. Sucralose

Sucralose mempunyai tahap kemanisan sehingga 600 kali ganda berbanding gula biasa. Ia dijual di bawah jenama Splenda.

Ia banyak digunakan dalam produk makanan seperti roti, minuman, gula-gula getah, gelatin dan pencuci mulut berasaskan tenusu seperti yogurt.

#5. Neotame

Dijual di bawah jenama Newtame dan tahap kemanisannya lebih tinggi berbanding aspartam dan sucralose.

Ia mempunyai tahap kemanisan antara 7,000 hingga 13,000 kali ganda berbanding gula biasa. Ia juga adalah sejenis gula buatan yang tahan terhadap haba.

#6. Advantame

Ia berasal daripada aspartam dan tahap kemanisannya ialah 20,000 kali ganda lebih manis daripada gula sukros atau gula biasa.

Ia biasa terdapat dalam produk minuman dan juga serbuk minuman selain produk memasak dan juga roti.

#7. Stevia

Stevia glycosides adalah sebahagian daripada komponen semula jadi daun pokok Stevia rebaudiana Bertoni.

Ia adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan dan lebih dikenali dengan nama Stevia.

Pada masa kini, banyak produk minuman yang menggunakan stevia dalam penghasilannya.

#8. Ekstrak buah Luo Han Guo/Monk Fruit

Ekstrak buah ini mempunyai tahap kemanisan antara 100 hingga 250 kali ganda berbanding gula biasa yang kita makan.

Siraitia grosvenorii Swingle atau buah Luo Han Guo ini adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Selatan China.

Adakah benar gula buatan ini boleh menyebabkan kanser?

Kita mungkin pernah dengar pemanis tiruan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah terhadap kesihatan terutamanya kanser.

Ini adalah disebabkan kajian yang dijalankan pada tahun 1970 mengaitkan hubungan antara pemanis tiruan sakarin dengan penyebab kanser pundi kencing pada tikus makmal.

Disebabkan kajian tersebut, sakarin pernah dilabelkan sebagai bahan yang membahayakan kesihatan tubuh manusia.

Namun, beberapa badan kesihatan seperti National Cancer Institute di Amerika Syarikat menyatakan tiada bukti pemanis tiruan boleh menyebabkan kanser dan masalah kesihatan serius yang lain.

Beberapa kajian turut mengesahkan penggunaan pemanis tiruan ini masih lagi selamat dengan kuantiti yang terhad.

Sakarin kemudiannya diisytiharkan selamat untuk digunakan dalam makanan dan juga minuman.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 30 kajian yang melibatkan manusia dijalankan mengenai pemanis tiruan ini dan kesemuanya menyatakan ia tidak menyebabkan risiko kanser.

Anda tidak perlu risau, pemanis tiruan selamat untuk diambil

Secara umumnya, pengambilan pemanis tiruan ini adalah selamat. Ia telah kerap diuji badan-badan kajian di peringkat antarabangsa bagi mengesahkan selamat untuk kegunaan manusia.

Namun, ada beberapa golongan yang perlu mengelakkan daripada mengambil pemanis tiruan ini.

Antaranya ialah mereka yang mempunyai gangguan metabolik yang jarang berlaku iaitu phenylketonuria (PKU).

BACA: Apakah Kesan Pemanis Buatan Ke Atas Kesihatan?

Tubuh penghidap gangguan ini tidak mampu untuk memproses amino acid phenylalanine yang terdapat dalam aspartam.

Ada juga sesetengah individu yang mempunyai alahan terhadap sulfonamida, iaitu kelas sebatian bagi sakarin.

Jika mereka mengambil sakarin, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas, ruam pada tubuh malah cirit-birit.

Anda juga boleh memilih pemanis semula jadi dalam makanan dan minuman anda. Contohnya madu, sirap maple, jus buah-buahan dan juga molases.

Tetapi ingat, ini tidak bermakna bahawa anda boleh mengambilnya sesuka hati tanpa had. Setiap yang anda makan perlulah dikawal agar ia tidak menyebabkan masalah lain pada tubuh anda.

Sumber: helloDOKTOR

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

one + 10 =