12 Pantang Larang Orang Melayu Tentang Makanan

Orang Melayu sememangnya terkenal dengan adab dan pantang larang. Dalam setiap perbuatan pasti ada adab dan pantang larang seperti adab ketika bercakap, adab dengan ibu bapa dan bermacam lagi. Namun, untuk kali ini kita lihat dulu apakah adab dan pantang larang ketika makan.

Berikut adalah beberapa pantang larang yang berkaitan dengan makan:

  1. Makan mencangkung payah dapat rezeki.
  2. Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.
  3. Makan beras mentah dapat penyakit kuning.
  4. Makan telur tembelang dapat penyakit barah.
  5. Makan kepala ayam nanti mengantuk semasa bersanding.
  6. Makan sisa anak nanti anak menjadi degil.
  7. Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.
  8. Makan tidak basuh pinggan nanti lambat dapat menantu.
  9. Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.
  10. Makan pinggan bertindih nanti beristeri dua.
  11. Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.
  12. Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.
  13. Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.
  14. Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.

Ini pula beberapa adab dan tatatertib melibatkan makanan:

1. Tidak menolak makanan atau minuman yang di sediakan oleh tuan rumah ketika berkunjung ke rumahnya. Walaupun masih kenyang, jamahlah sedikit bagi mengelak tuan rumah berkecil hati.

2. Setelah makanan dihidang, pastikan orang yang lebih tua duduk terlebih dahulu dan diikuti oleh orang muda. Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua.

3. Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan terlebih dahulu kerana tidak sopan membiarkan mereka makan sisa orang muda. Sesetengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan terlebih dahulu. Namun, amalan ini tidak sesuai untuk tanam kemesraaan dan semangat kekeluargaan dikalangan anak-anak.

4. Ketika makan seeloknya ambil makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai atau minta bantuan orang lain yang berdekatan jika kita hendak makanan itu.

5. Ketika menghulur atau menyambut makanan sebaiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah gunakan tangan kiri. Seeloknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.

6. Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.

7. Pastikan sudu, piring atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring atau mangkuk sehingga berbunyi.

8. Jangan bercakap-cakap ketika makan, lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan. Jika perlu bercakap, pastikan tidak menimbulkan perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera orang lain.

9. Jangan makan berbunyi atau kunyah makanan dengan kuat, ia akan menggangu keselesaan orang lain.

10. Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkahak atau berludah.

11. Kemas meja makan setelah semua orang selesai makan. Tidak sopan mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan, jika dilakukan seolah-olah menyindirnya supaya berhenti makan.

12. Jangan berkunjung ke rumah orang pada waktu makan atau ketika maghrib. Ia akan mengganggu tuan rumah yang mungkin masak makanan cukup untuk keluarganya sahaja. Waktu maghrib pula adalah waktu solat paling singkat dan kedatangan tetamu akan menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Seeloknya datang selepas waktu Solat Isyak.

Pantang larang ini wujud bukan sahaja sebagai pengajaran, malah bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang tidak sopan. Pantang larang yang baik ini diharap dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang. Biar beradab, jangan biadab!

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

15 + one =