Tip Mudah Dan Cepat Membeli Barang Dapur Segar

Kami percaya setiap bulan, ramai kita yang merancang membeli barangan dapur setiap kali menjelang hujung bulan atau semasa gaji sudah masuk. Namun, kesesakan di pusat membeli belah mahupun pasar menyebabkan kita terpaksa membeli barangan ala kadar tanpa memikirkan kesegarannya. Kerana itu kami sediakan tip satu minit beli barang dapur segar buat anda. Sesuai untuk si suami dan juga ibu-ibu muda yang jarang singgah ke pasar.

IKAN, AYAM, DAGING DAN LAIN-LAIN

Terpulang sama ada anda ingin membeli ayam segar di pasar atau pasar raya. Untuk mengetahui sama ada ayam di dalam keadaan baik adalah menerusi kulit. Ayam yang segar boleh dilihat berdasarkan kulit ayam yang lembab, isi berwarna merah jambu cerah dan bebas dari sebarang tanda luka seperti lebam. Jika anda terhidu bau kurang menyenangkan, jangan beli! Bagi ayam yang siap dipotong, pastikan daging melekat di tulang ayam itu padat.

Bagi ikan pula, lihat warna pada insang. Ikan yang segar mempunyai insang yang berwarna merah terang. Mata ikan segar juga kelihatan terang seakan-akan bercahaya. Elak membeli ikan yang matanya gelap dan tenggelam. Untuk memastikan isi segar, tekan ikan dan lihat isinya akan menganjal kembali ke bentuk asal. Jika tidak, ia mungkin ikan yang lama.

Begitu juga jika anda mahu membeli daging lembu, kambing mahupun makanan laut yang lain. Lihat bentuk, warna, bau, kebersihan dan keanjalan isi. Jika semuanya baik, anda boleh beli dengan selamat.

SAYUR-SAYURAN DAN BUAH-BUAHAN

Ada yang gemar membeli sayur-sayuran dan buah-buahan dari pemborong sekaligus kerana harga yang murah, kuantiti banyak dan semestinya segar. Elak membeli sayur dan buah ketika petang atau malam kerana rata-rata sayur yang dijual di pasar raya sudah layu dan hilang khasiat.

Sebelum anda mahu membeli sayur, pastikan anda tahu sayur apa yang anda mahu dijadikan bekalan selama seminggu. Sebagai contoh, timun dan lobak merah merupakan antara sayur-sayuran yang tahan lama berbanding sayur berdaun. Untuk mengekalkan kesegaran sayur berdaun dan yang mempunyai akar seperti kangkung, bayam atau taugeh, anda boleh rendam di dalam satu bekas. Anda juga boleh menyimpan di dalam plastik yang kedap.

Bagi buah-buahan pula, terdapat perbezaan di antara buah yang dijual di pasar dan pasar raya. Jika anda memilih untuk membeli buah di pasar pagi, biasanya penjual bersikap jujur dan tahu keadaan buah sama ada masak, terlebih masak atau masih mentah. Berbanding pasar raya, kebanyakan buah yang dipamir adalah setengah masak kerana buah yang dipetik adalah belum masak. Hal ini berlaku kerana supermarket mahu menjadikan buah-buahan sebagai stok.

SENARAI BARANG

Kami menyarankan anda supaya menyediakan satu senarai barang-barang yang hendak dibeli mengikut kategori. Misalnya, satu bahagian untuk makanan basah dan masakan kering. Dengan cara ini, anda tidak perlu berulang-alik untuk mencari rak barang yang diperlukan. Panduan terbaik untuk lebih menjimatkan adalah dengan menyimpan resit pembelian terdahulu. Anda boleh melihat semula harga-harga barang dan anda sudah tahu berapa perbelanjaan yang boleh dibelanjakan untuk hari ini.

Nasihat kami, bijak berbelanja dan disiplin diri agar tidak ada barang yang tidak diperlukan di dalam troli anda. Bukan kerana anda ada wang yang banyak anda boleh membeli apa sahaja tanpa sebarang had. Beli ala kadar mengikut keperluan supaya kita tidak membazir membeli barang makanan yang mudah rosak ini.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

10 − three =