Kenapa Kena Masak Sup Ayam Bila Anak Selsema?

Setiap kali demam dan selsema, kita selalu sangat nak masakkan sup ayam. Kononnya nak jadikan makan lebih berselera ketika demam. Tanpa tahu apa sebabnya, kita berusaha buat atau paling kurang beli semangkuk sup ayam.

Tahu tak sebenarnya menghirup sup ayam yang panas ketika selsema dan demam ada kuasa magiknya dalam menyembuhkan kedua masalah ini. Ia bukan mitos semata-mata.

Beberapa kajian telah membuktikan bahawa sup ayam mampu memecahkan kahak dan melancarkan pernafasan hidung yang tersumbat.

Benarkah? Yang perlu anda tahu, ayam sebenarnya mengandungi asid amino ‘cysteine’, dibebaskan semasa anda menyediakan supnya.

Asid amino ini mempunyai kesan yang sama seperti ‘acetylcysteine’, sejenis ubat yang diberikan oleh doktor untuk merawat sakit kerongkong. Manakala wap panas sup ayam juga terbukti lebih berkesan berbanding wap air panas untuk melancarkan hidung yang tersumbat akibat selesema. Hebat bukan?

Untuk menambahkan keberkesanan sup ayam, masukkan juga rempah ratus yang pedas seperti halia, lada sulah, bawang putih dan bawang merah ke dalamnya. Itulah rahsia kehebatan sup ayam. Jadi ia bukanlah mitos semata-mata. Apa tunggu lagi, pastikan anda masak sup ayam ketika anak atau suami selsema!

Resipi Sup Ayam Power di bawah ini juga boleh anda cuba ketika demam selsema.

SUP AYAM POWER

Bahan-bahan:

  • 1/2 kg ayam -dibersihkan dan potong saiz kecil
  • 3 biji bawang merah -dihiris
  • 2 ulas bawang putih -dihiris
  • 1 inci halia -dihiris halus
  • 2 kuntum bunga lawang*
  • 5 kuntum cengkih*
  • 1 batang kulit kayu manis saiz sederhana*
  • 7 biji buah pelaga*
  • 1/2 sudu teh lada hitam
  • 1 kiub ayam atau boleh ganti dengan 1 sudu besar stok ayam
  • 1 sudu besar bawang goreng
  • 2 biji kentang potong ikut suka
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
  • Sedikit daun sup dan daun bawang

Cara Memasak:

  1. Panaskan minyak dan tumis rempah empat sekawan.
  2. Masukkan bawang dan halia. Biar hingga layu dan naik baunya.
  3. Bila bawang dah kekuningan, masukkan ayam bersama lada hitam. Gaul rata.
  4. Tutup periuk dalam lebih kurang 5 hingga 10 minit kemudian gaulkan rata.
  5. Bila sampai tempoh 10 minit anda dapat lihat ada air pekat yang berwarna kekuningan dalam periuk. Itu ialah pati ayam. Pati inilah yang menyerlahkan rasa sup ayam.
  6. Masukkan air secukupnya dan masukkan kiub ayam.
  7. Masukkan kentang bila sup mula menggelegak. Masukkan juga bawang goreng.
  8. Bila kentang agak lembut, masukkan garam dan gula secukup rasa.
  9. Padamkan api bila kentang dah cukup lembut. Taburkan dengan daun bawang dan daun sup semasa dihidang.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

nineteen − 5 =