Kentut Vagina Bahaya? Baca Perkongsian Doktor Ini untuk Elak Dari Kena Tipu

Bila duit menjadi keutamaan peniaga, maka halal haram ditolak tepi. Fakta bukan lagi menjadi keutamaan dalam menghasilkan ayat jualan. Sebaliknya, penggunaan ayat-ayat yang memikat lebih ditekankan.

Tak dinafikan, wanita mudah terpengaruh. Lebih-lebih lagi hal yang melibatkan kesihatan dan kecantikan. Bila penggunaan ayat jualan menyentuh emosi mereka, mudahlah mereka termakan dengan pujuk rayu peniaga.

Sebab itu, disarankan sebelum membeli apa-apa produk, pastikan ada ilmu terlebih dahulu. Contoh seperti isu kentut vagina yang disentuh oleh Doktor Erna Nadia ni.

kentut vagina, kentut vagina bahaya, kentut uterus, perempuan kentut, punca kentut vagina,
Kredit Foto: Dr Erna Nadia

KITA selalu dimomokkan dengan ayat begini:

  • Bahaya tau kentut vagina ni, nanti suami lari.
  • Kentut vagina ini boleh batalkan solat.
  • Habislah kau dah ada kentut vagina, dah tak umph dah la.

Macam-macam ayat penjual nak menakutkan wanita-wanita kita. Kentut vagina adalah angin yang dibebaskan keluar daripada faraj. Ianya berbunyi seakan kentut dari anus tetapi ianya tidak berbau.

Dua sebab kenapa berlaku kentut vagina:

1. Udara normal yang berada di dalam faraj.

2. Udara yang datang daripada usus. Ini adalah penyakit dan berlaku bila seseorang ada fistula (bukaan antara usus dan faraj menyebabkan najis dari usus masuk ke faraj). Dan ini tentu tentulah mempunyai bau.

Jika faraj wanita dijangkiti kuman, ianya tidak akan menyebabkan kentut vagina. Perlu diketahui bahawa faraj kita mempunyai ruang dan terisi oleh udara di dalamnya. Faraj adalah elastik dan fleksibel. Ianya boleh mengembang dan mengencup kerana ianya terbentuk daripada otot.

Jadi, kenapa berlakunya kentut vagina?

  1. Hubungan seksual (posisi yang tidak betul)
  2. Memasukkan sesuatu ke dalam faraj seperti penis, jari, tampon, douche atau bahan lain.
  3. Bersenam
  4. Mengandung atau menopause
  5. Pernah melahirkan anak
  6. Batuk yang kuat
  7. Prosedur kesihatan seperti kolonoskopi atau melakukan pemeriksaan dengan memasukkan speculum.

Bila sesuatu dimasukkan ke dalam faraj, kandungan udara di dalamnya akan dibebaskan keluar. Kalau tidak, tekanan di dalamnya akan meningkat. Jadi, berlakulah kentut vagina.

Sama macam bersenam, mengandung, dan apa-apa prosedur, ianya mengubah kandungan udara di dalam faraj. Sistem badan sudah dicipta hebat oleh Allah SWT, sebab tu udara itu akan dilepaskan.

Jadi, adakah kentut vagina bahaya?

Tidak. Melainkan jika anda apa penyakit fistula seperti yang disebutkan di atas, perlu lakukan pembedahan. Atau jika anda berasa sakit/ada darah semasa kentut vagina, terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Adakah kentut vagina disebabkan otot rahim yang lemah?

Jika anda sudah pernah melakukan hubungan seksual, pernah melahirkan anak, otot rahim mungkin akan lemah sedikit tapi tidak merbahaya. Jika anda sudah menopause dan berusia, otot rahim juga akan lemah sedikit.

Fikir logik, faraj anda adalah otot. Otot menjadi sedikit lemah dengan meningkatnya usia kita.

Jadi, apa yang perlu diamalkan untuk kuatkan otot rahim?

  1. Senaman kegel. Kemut otot di sekeliling faraj selama 10 saat kemudian rehat 10 saat. Buatlah 10 kali setiap sesi. 1-3 sesi setiap hari.

Apa yang perlu dibuat untuk elakkan kentut vagina?

  1. Senaman kegel untuk kuatkan otot.
  2. Ubah posisi sewaktu hubungan seksual/bersenam.
  3. Pessary. Sejenis alat yang dimasukkan ke dalam faraj. Ianya masih boleh menyebabkan udara masuk cuma akan menghalang bunyi sahaja.

Adakah kentut vagina membatalkan wuduk?

Saya sertakan link – Klik Sini

Jika ikut mazhab Syafie dan Hanbali, keluarnya angin dari qubul (faraj) adalah membatalkan wuduk.

Jika ikut mazhab Hanafi dan Maliki, ianya tidak membatalkan wuduk.

Kita ikut mazhab Syafie kan? Jadi, batal wuduk. Tapi tak perlu gusar. Kentut vagina ni bukanlah selalu terjadi pun. Jika anda ragu ragu, terus sahaja ambil wuduk sekali lagi.

Kesimpulannya, kentut vagina adalah normal. Melainkan jika anda ada penyakit fistula. Anak dara yang tidak pernah melakukan hubungan seksual biasanya tidak akan mengalami kentut vagina.

Berjumpalah doktor jika kentut vagina anda sakit atau mengeluarkan bau. Tidak perlu jamu/perapat/maskers/douche/meruang untuk kentut vagina. Benda ni semua akan mengundang kentut vagina dan jangkitan kuman sahaja.

Yang penting, jaga kebersihan dengan betul, bersenam dan jaga makan.

Sumber: Dr Erna Nadia

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

1 × 4 =