Jenis Makanan Berpantang Ibu Selepas Bersalin

Semasa dalam berpantang, ibu bersalin memang kena betul-betul berpantang makan. Bukan pantang nampak makanan ya! Ini ialah tempoh masa pemulihan selepas bertarung nyawa melahirkan bayi.

Selain melakukan pelbagai rawatan tradisional mengembalikan kesegaran badan, ibu juga mesti menjaga pengambilan makanan sepanjang berpantang.

Amalan pemakanan berpantang memainkan peranan penting mengembalikan semula badan sihat dan bertenaga semula. Ini antara perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam aspek pemakanan ketika berpantang.

1. Jenis makanan

Pada minggu pertama, ibu digalakkan makan makanan kering bagi pengecutan rahim. Waktu makan mesti tepat untuk mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi dalam keadaan masih panas dalam kadar yang sederhana. Tidak mengapa jika anda makan kerap tetapi elak makan jumlah yang banyak.

Pada minggu kedua dan seterusnya ibu sudah boleh mula makan makanan yang berkuah seperti sup sayur dan sup ikan serta buah-buahan supaya badan mendapat makanan berkhasiat.

2. Elak makanan berlemak

Apa yang dimakan memberi kesan kepada tubuh badan. Semasa berpantang ibu perlu lupakan makanan yang berlemak dan berminyak. Jika prihatin terhadap pengurangan berat badan, kawal makanan yang dimakan. Banyakkan mengambil sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang masak menggunakan kaedah kukus dan rebus.

3. Pengambilan air

Pantang orang tua memang melarang ibu lepas bersalin minum air dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Ia dikatakan boleh menjadikan perut buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim dan faraj longgar.

Namun, air mesti diminum dengan kerap dalam jumlah yang cukup kerana ia penting untuk pengeluaran susu ibu dan proses penyembuhan.

4. Jangan lupa makan halia

Dalam menu masakan berpantang, biasanya halia ialah herba wajib yang mesti ada. Sifatnya dipercayai ‘panas’ dan ‘kering’. Ibu digalakkan mengambil halia dengan banyak semasa berpantang untuk membantu memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.

Namun, ibu perlu mengelakkan makan halia buat sementara waktu sekiranya bayi masih lagi dijangkiti jaundis kerana bimbang bacaan darahnya tidak turun akibat kandungan halia yang tinggi dalam susu ibu.

5. Makanan penambah susu ibu

Ibu boleh amalkan makanan untuk menambah susu dan mengatasi masalah kesukaran membuang air besar seperti cekur manis, lobak, peria dan pegaga. Sekiranya diambil secara kerap, ia juga membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.

6. Pemberi tenaga

Selain makanan herba, sayuran dan buah-buahan untuk mengembalikan tenaga tubuh, anda boleh mengamalkan minuman rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Minum air rebusan ini setiap pagi dan malam untuk memastikan badan anda kembali bertenaga.

7. Baik untuk anti oksida

Semasa dalam pantang ibu juga perlu membuang toksin dalam badan supaya kembali segar. Antara ulam yang sesuai dimakan ialah pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daun kesum dan halia. Ulam-ulaman ini bersifat anti oksida dengan mengandungi fiber, zat galian dan pelbagai vitamin antaranya A,C dan E.

8. Banyakkan makan ikan segar

Selain pengambilan ulam-ulaman, herba dan minuman, pemilihan ikan segar juga penting. Ia perlu kerana ada ikan yang tidak sesuai untuk ibu makan semasa berpantang.

Ikan segar dan tidak gatal yang sesuai untuk ibu berpantang ialah ikan haruan, sardin dan selar. Ikan haruan amat digalakkan buat anda bersalin pembedahan (caesarean).

Elakkan pengambilan ikan gatal dan berbisa seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam dan terubuk. Jika salah pengambilannya kebarangkalian akan mengalami reaksi alahan dan boleh menyebabkan bentan di pintu rahim.

9. Kalau nak cepat sembuh

Untuk memastikan luka kembali sembuh, buah oren mempunyai khasiat penyembuhan luka-luka. Buah oren mempunyai banyak vitamin C untuk mengembalikan kesihatan badan anda.

Elak makanan yang menjalar, angin dan sejuk antara kangkung, timun, sayur keladi, bayam dan rebung. Minuman seperti tebu, cincau, jambu, nanas, pisang, cempedak antara minuman jenis sejuk dan tajam. Larangan makanan ini kerana ia boleh mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot dan lemah sendi.

10. Kecutkan rahim

Amalan makan kunyit bersama nasi panas selama 40 hari, mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman. Malah kunyit juga dijadikan minuman untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.

Namun, ibu perlu mengelakkan makan kunyit buat sementara waktu sekiranya bayi masih lagi dijangkiti jaundis kerana bimbang bacaan darahnya tidak turun akibat kandungan kunyit yang tinggi dalam susu ibu.

Proses penyembuhan selepas melahirkan anak memerlukan kesabaran dan pengorbanan. Jika anda jenis yang tidak sabar dan tidak mampu menahan selera makan makanan orang berpantang, maka sukarlah untuk mendapat kecergasan dan kelangsingan tubuh badan kembali.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. TQ

Komen Anda...

Add Comment