Ketahui Ciri-Ciri Rumah ‘Patuh Syariah’ Sebelum Membeli Atau Menyewa Rumah

Sebuah rumah, atau kediaman, merupakan salah satu perkara asas yang diperlukan dalam kehidupan. Ia merupakan kawasan untuk kita mendapatkan privasi, berehat dan juga sebagai tempat perlindungan. Dalam kehidupan berkeluarga, ketua keluarga diwajibkan untuk menggalas tanggungjawab menyediakan kediaman yang selesa bagi pasangan dan anak-anak.

Kebiasaannya, dalam isu pembelian rumah, ramai orang hanya membuat pertimbangan halal-haram apabila tiba ke bahagian mempertimbangkan pembiayaan perumahan. Mereka tidak mahukan pinjaman konvensional kerana tidak mematuhi syariah dan dikenakan pula syarat serta faedah pinjaman yang kadangkala agak mencekik darah.

 

Tetapi adakah rumah yang ingin dibeli atau disewa itu juga sudah patuh syariah dari segi binaannya? Selain mengira berapa bilangan bilik dan keluasan tapak rumah, sesetengah orang yang hanya menitikberatkan kedudukan ‘feng shui’ rumah. Manakala yang lain pula barangkali melihat infrastruktur kemudahan di kawasan berhampiran ataupun jarak untuk berulang-alik ke tempat kerja.ciri-ciri rumah patuh syariah, rumah patuh syariah, rumah orang islam, menyewa rumah, adab menyewa rumah, adab membeli rumah

Tahukah anda, Islam telahpun menyenaraikan garis panduan tersendiri untuk asas reka bentuk bagi ruang kediaman? Jika sebelum ini anda memilih rumah berdasarkan nilai estetik ataupun jangkaan harga rumah tersebut pada masa depan, kami kongsikan ciri-ciri Rumah Patuh Syariah untuk panduan bersama. Tak kisahlah sama ada nak beli ataupun sewa, boleh masukkan kriteria ini sekali sebelum buat keputusan ya.

 

Islam menekankan tiga konsep utama semasa memilih atau membina rumah kediaman:

Konsep Perhubungan

1. Hubungan Individu

Seseorang individu perlu diberikan ruang peribadi dan terlindung untuk melakukan aktiviti harian seperti mandi, bersolat, membuat kerja-kerja peribadi dan sebagainya.

2. Hubungan Kekeluargaan

Tanggungjawab terhadap ibu bapa

Anak-anak (terutamanya anak lelaki) dipertanggungjawabkan untuk menjaga hubungan dengan ibu bapa lebih-lebih lagi apabila orang tua tidak sihat atau terlantar sakit. Oleh itu, sebuah rumah harus mempunyai ruang bersesuaian untuk memandikan orang tua yang sakit, ruang untuk mereka beribadah dan kemudahan lain untuk orang kurang upaya seperti ruang untuk laluan kerusi roda dan sebagainya.

 

Penambahan bilangan ahli keluarga

Bilik atau ruang secukupnya perlu difikirkan lebih awal untuk pelan jangka masa panjang seperti apabila berlaku penambahan bilangan ahli keluarga. Ini bukan hanya tertakluk kepada kelahiran anak sahaja, malah kehadiran menantu atau ibu bapa yang bakal tinggal sebumbung. Selain itu, ruang sewajarnya harus diberikan kepada pembantu rumah yang diambil bekerja.

Hubungan sesama anak lelaki dan perempuan

Dalam Islam, anak lelaki dan perempuan wajib dipisahkan tempat tidur apabila salah seorang daripada mereka menjangkau usia 10  tahun.

Ahli keluarga yang bermalam atau berziarah

Sesebuah rumah kediaman harus mampu menampung kehadiran tetamu dari kalangan ahli keluarga yang datang melawat. Apabila tiba musim cuti sekolah atau sambutan perayaan, kemungkinan saudara yang sudah berkeluarga akan datang menziarah. Mereka ini juga perlukan privasi dan ruang tersendiri untuk menukar pakaian, mandi, tidur dan sebagainya.

 

3. Hubungan Kejiranan

Dalam Islam, seseorang Muslim mempunyai tanggungjawab untuk menjaga perhubungan dengan jiran di sekeliling mereka. Antara amalan kejiranan yang perlu dipraktikkan adalah seperti mengucapkan salam kepada jiran, berbuat baik dengan mereka, bersabar sekiranya diganggu dan menziarahi jiran sekiranya ditimpa kemalangan atau kematian. Disebabkan itu, anda perlu memilih dan mengenali jiran tetangga sebelum membuat keputusan untuk berpindah.

Konsep Ruang

1. Memenuhi keperluan ibadah

Sebagai seorang Islam, anda perlu menitikberatkan keperluan ibadah seharian termasuklah bersolat, membaca Al-Quran, berzikir, belajar, membuat kerja dan sebagainya. Aktiviti beribadat akan menjadi keutamaan kerana arah Qiblat akan mempengaruhi kedudukan dan orientasi rumah supaya mendapatkan ruang maksima untuk mendirikan solat secara berjemaah. Selain itu, arah Qiblat juga akan menentukan arah pintu masuk, arah ruang tandas, kedudukan katil atau tilam dan juga kedudukan jenazah apabila berlaku kematian.

2. Saiz ruang

Kebanyakan perumahan zaman moden dan pembinaan rumah tinggi seringkali dipandukan kepada seni bina barat. Tidak ada perumahan yang dibina secara spesifik khusus untuk orang Islam dengan ruang khas musolla ataupun menawarkan saiz bilik yang benar-benar mengambilkira keperluan solat berjemaah.

ruang muat untuk bersolat secara jemaah

3. Susun atur ruang

Fleksibel

Rumah tradisional Melayu dahulu mempunyai ruang yang fleksibel dengan susun atur secara open plan dan mempunyai bilik berdinding tetap khusus untuk anak perempuan sahaja. Perabot di ruang terbuka boleh dialihkan mengikut kesesuaian dan keperluan. Seringkali langsir atau kayu pembahagi (divider) digunakan sebagai sekatan untuk mewujudkan ‘bilik’ baru. Namun konsep fleksibel ini agak sukar didapati dalam perumahan moden zaman kini.ruang khas untuk bersolat

Privasi

Pintu masuk : Rumah yang patuh syariah menekankan pembinaan pintu masuk yang boleh menghadang penglihatan dari orang luar yang berdiri di pagar ataupun di hadapan rumah. Selain itu, pintu masuk juga tidak boleh dibina betul-betul bertentangan dengan jiran di hadapan. Cara/arah bukaan pintu juga memainkan peranan dalam privasi. Pastikan ruang di belakang pintu (seperti ruang makan, ruang rehat atau ruang tamu) tidak boleh dilihat dari luar secara direct.

Tingkap di tingkat atas : Tingkap di aras atas dibina hanya untuk menerima angin dan cahaya matahari. Kedudukan tingkap ini seharusnya direka agar tidak boleh melihat terus ke dalam rumah jiran. Sekiranya tingkap atas anda membolehkan anda melihat dengan jelas bahagian dalam rumah jiran, anda perlu menutup atau menghadangnya untuk memberikan privasi dan rasa selamat kepada jiran.

Tingkap bawah : Sebaik-baiknya, pembinaan tingkap pada aras bawah dibina lebih tinggi dari paras penglihatan. Sekiranya tingkap dibina rendah, anda perlu menghadangnya dengan langsir yang tebal untuk mengelakkan pandangan dari orang luar.

wanita selalu sibuk di dapur

Laluan : Seelok-eloknya, penghuni wanita mempunyai laluan berasingan yang memudahkan mereka ke tandas atau dapur tanpa menayangkan aurat. Pembinaan laluan transisi atau double circulation antara ruang tamu dan ruang peribadi memberikan privasi kepada penghuni rumah. Ini bertujuan untuk menjaga aurat dan mengelakkan pandangan mata dari yang bukan mahram.

Bilik : Pembinaan bilik perlu mengambilkira aurat dan jantina para penghuni dalam rumah. Sebaik-baiknya bilik tidur boleh dimasuki oleh penghuni wanita tanpa melalui para tetamu. Dalam Islam juga, bilangan bilik yang perlu ada dalam sebuah kediaman adalah sekurang-kurangnya tiga buah untuk membolehkan pengasingan mudah tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan apabila mereka menjangkau usia 10 tahun.

Tandas

Pintu : pintu tandas hendaklah dibina agar ia boleh dibuka menggunakan tangan kanan. Oleh itu, secara automatik kaki kiri yang akan melangkah dahulu untuk masuk ke tandas.

Tandas cangkung : Seperti kita sedia maklum, Rasulullah SAW dah ajar kita dari awal lagi cara buang air yang betul. Kini, kajian moden juga telah mendapati lebih banyak kebaikan sebenarnya membuang air menggunakan tandas cangkung berbanding tandas duduk.

Arah tandas : Kedudukan tandas tidak boleh menghadap atau membelakangkan Qiblat.

Tempat berwuduk : Sebaik-baiknya tempat berwuduk dipisahkan daripada tandas.

tempat mengambil wudhu sebaik baiknya paling afdal diasingkan dari tandas

 Konsep Kebersihan

Carilah rumah dengan sistem pembuangan sampah yang efektif dan tidak menyebabkan gangguan binatang perosak atau bau menular ke rumah jiran tetangga.

Selain itu, jika anda dapat perhatikan rumah pada zaman dahulu mempunyai tandas yang terletak berjauhan dan berasingan dari bangunan rumah. Ini sebenarnya salah satu contoh aspek kebersihan dalam Islam kerana tandas boleh menyebarkan jangkitan kuman dan bakteria ke dalam kawasan rumah. Lagipun, tandas itu kan salah satu tempat kegemaran syaitan. Namun, rata-rata rumah zaman moden kini mempunyai tandas yang dibina bersebelahan dapur atau bilik agar lebih mudah diakses.

tandas kampung selalu dibina berasingan

Perancang bandar dan arkitek di Malaysia yang beragama Islam mungkin akan lebih menitikberatkan pelan pembinaan rumah yang bertepatan dengan prinsip Islam. Tetapi garis panduan Lembaga Arkitek Malaysia tidak pernah meletakkan sebarang kewajipan bagi pembinaan rumah yang berteraskan Islam. Pendek kata, anda sebagai pengguna perlulah tepuk dada dan tanya iman sebelum membeli atau menyewa mana-mana rumah kediaman idaman hati.

Kalau dah nampak binaan tandas betul-betul menghadap Qiblat, kalau boleh elakkanlah ya? Melainkan anda punya wang lebih untuk mengubah suai semula rumah tersebut.

Rujukan:

1. Islamic Guiding Principle (Shari’ah Law) for Architectural Interpretation of Housing

2. Privasi Rumah Kediaman dalam Islam

3. Prinsip Islam Di Kediaman Apartment

4. Prinsip Islam dalam Ruang Kediaman

5. JAKIM

6. Majalah Al-Islam

Kredit: Iluminasi

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. TQ

Komen Anda...

Add Comment