Inilah Cara Mudah Buat Tauhu Homemade Guna Cuka

Tauhu kaya dengan sumber protein malah ia boleh dimasak dengan pelbagai gaya masakan. Jika dibeli, sekeping tauhu anggaran harganya ialah 50sen sekeping.

Jika anda hasilkan sendiri di rumah, dengan kos yang sedikit, anda boleh hasilkan banyak tauhu. Boleh kongsi dengan jiran tetangga ataupun dijadikan sumber pendapatan sampingan. Berminat nak buat? Jom lihat cara-cara pembuatan tauhu perkongsian dari saudari Mimi Ly.

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg kacang soya – direndam semalaman
  • 10 sudu besar cuka makan – cuka boleh diganti dengan GDL. Fungsinya sama iaitu untuk membekukan soya
  • 2 helai kain bersih – boleh guna kain lampin baru atau kain lain yang bersesuaian
  • 2 buah bekas penapis – sama besar

CARA MEMASAK:
1. Kisar kacang soya dengan air dengan nisbah 1 cawan kacang soya bersamaan 2 cawan air biasa. Kisar sekali sahaja.

2. Tuang soya yang dikisar ke dalam bekas yang telah dialas menggunakan kain. Perah air soya. Lakukan hingga habis. Hampas soya perlu dibuang.

3. Masukkan air tapisan soya ke dalam periuk besar. Kacau sentiasa hingga keluar bau soya dan berasap-asap. Semasa proses ini, teruskan kacau kerana tak nak bagi soya pecah. Setelah 5 minit, baru padamkan api. Tunggu 5 minit lagi supaya suam sedikit.

4. Tapis soya sekali lagi. Ia bertujuan untuk membuang sisa hampas yang ada serta menjadikan tauhu cantik dan lembut.

5. Masukkan air soya ke dalam bekas bersesuaian. Biarkan 5 minit dan masukkan cuka makan. Kacau seketika dan biarkan soya menjadi ketulan-ketulan. Anggaran masa dalam 15-20 minit.

6. Selain cuka, boleh juga menggunakan GDL ( serbuk tao fa). Ia boleh dibeli di kedai bakeri. Nisbahnya ialah 30gm GDL dilarutkan dengan 60gm air suam. Kemudian campurkan ke dalam air soya tadi. Tunggu sehingga berketul sama seperti proses menggunakan cuka tadi.

Sediakan bekas tapis. Alas kain lampin. Di bawah tapis beralas diletakkan satu lagi bekas supaya air lebihan tauhu mudah menitis ke bawah.

7. Tuang bancuhan soya berketul tadi dengan berhati-hati. Tutup kain dengan elok.

8. Letakkan satu lagi tapis dan juga pemberat. Biar sehingga tauhu sejuk dan bila dibuka, tauhu tidak melekat pada kain.

9. Potong tauhu, simpan dalam bekas berair dan letak dalam peti sejuk.

Nota:
Jika guna kain lampin, pilih kain lampin yang belum digunakan lagi (baru).
Untuk agen pembeku, pilih salah satu sahaja sama ada mahu guna cuka atau GDL. Jangan guna kedua-duanya sekaligus.

Untuk tauhu lebih tahan lama, masukkan 2 sudu makan cuka ke dalam air rendaman tauhu.

Kredit resipi & gambar: Mimi Ly

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.

3 × two =