Bila Tukar Minyak Hitam, Anda Perlu Tahu Info Ini

KITA semua tahu kereta memerlukan minyak enjin supaya dapat beroperasi dengan lancar. Peranan utama minyak enjin adalah melincirkan komponen bergerak dalam enjin, melindungi daripada kakisan karat dan menjaga kereta daripada enapan dan masalah asas enjin (dengan aditif detergen minyak moden).

Namun, fakta mengenai minyak enjin yang kita ketahui tidak semuanya benar atau sekadar mitos. Misalnya, kita tidak semestinya menukar minyak enjin setiap 5,000km dan warna minyak enjin gelap bukanlah bermaksud ia sudah kotor.

Dalam artikel kali ini akan menyenaraikan lima mitos mengenai minyak enjin yang sering disalah faham oleh pemilik kereta. Sedikit pengetahuan di sini mungkin menyelamatkan wang poket anda. Bacalah:

1. TANDA ‘W’ PADA LABEL 10W-30 BERMAKSUD ‘WEIGHT’ (BERAT)

Apabila membeli minyak enjin, penting untuk mengetahui kelikatan minyak (viscocity) yang boleh juga disamakan dengan ketebalan. Semakin kurang kelikatan, lebih lancar pergerakan minyak dalam enjin dan mudah melincirkan komponen yang bergerak.

Minyak enjin terbaik memiliki kelikatan yang tidak terlalu tinggi (tebal) hingga sukar melincirkan enjin, atau kelikatan terlalu rendah (nipis) seakan air. Ada dua cara kelikatan minyak diukur:

  • Gred-tunggal
  • Gred-multi

SAE30 ialah tipikal rating gred-tunggal, iaitu ujian dilakukan Persatuan Jurutera Automotif (SAE) ke atas minyak enjin menerusi peranti seperti tiub, termasuk merekodkan masa (dalam saat) yang diambil minyak itu untuk mengalir dari pangkal ke hujung tiub.

Rating kelikatan ialah nombor saat yang digenapkan kepada perpuluhan terhampir.

Jadi, minyak SAE30 mengambil masa 30 saat untuk mengalir melalui tiub tersebut. Rating kelikatan tunggal kadangkala dipanggil ‘berat’ (W) minyak. Namun, kelikatan minyak juga bergantung kepada suhu, sedangkan rating kelikatan tunggal hanya mewakili aliran minyak ketika cuaca panas. Apa akan berlaku jika anda menghidupkan kereta pada pagi musim sejuk yang bersalji?

Jawapannya, minyak akan mengalir perlahan. Di sini, rating kelikatan sejuk juga penting, dan rating gred-multi membolehkan anda mengetahui tahap kelikatan sama ada pada suhu sejuk atau panas.

Bagi minyak 10W-30, angka 30 bersamaan rating kelikatan SAE30 bagi minyak panas, manakala 10W mewakili rating kelikatan berdasarkan sistem rating standard dibangunkan SAE bagi penggunaan minyak ketika musim sejuk.

Kesimpulannya, W adalah Winter (Musim Sejuk) dan bukan ‘Berat’!

Apapun, pengguna Malaysia tidak perlu bimbang kerana musim hujan tidak termasuk dalam kategori musim sejuk.

2. MINYAK BERTUKAR HITAM SUDAH KOTOR DAN PERLU DITUKAR

Jika anda teliti mengenai penjagaan kereta, anda mungkin bimbang mengenai minyak enjin kotor yang menyebabkan enapan dalam enjin. Anda tarik tolok pengukur dan periksa warna minyak pada indikator. Apa yang anda dilihat, minyak sudah hitam dan tiada lagi berwarna kuning cerah seperti minyak yang baru ditukar. Menurut kefahaman anda, minyak itu perlu ditukar segera. Benarkah?

Salah. Faktanya terbalik. Jika anda menggunakan minyak enjin detergen (dan minyak enjin moden lain yang memiliki aditif detergen), minyak itu sebenarnya mampu bekerja seperti sepatutnya dengan menyebarkan partikel halus (yang mampu menyebabkan enapan enjin), dan mengapungkannya dalam minyak itu sendiri supaya enapan tidak terbina.

Sebab itulah minyak kelihatan gelap dan ia sama sekali tidak menghalang minyak daripada melakukan tugas melincir dan melindungi permukaan logam dalam enjin. Sudah tentu keupayaan minyak terhad dalam mengapungkan partikel di dalamnya dan akhirnya perlu juga ditukar apabila sudah tepu.

Anda cuma perlu mematuhi selang masa disyorkan pengeluar untuk menukar minyak enjin dan bukan kerana warna minyak bertukar hitam.

3. MESTI TUKAR MINYAK ENJIN SETIAP 5,000KM

Dulu, hampir semua pengeluar automobil menyarankan minyak enjin ditukar bagi setiap 5,000km. Penggunaan minyak enjin yang melepasi had tempoh akan menyebabkan enapan berlaku yang bukan hanya menyebabkan prestasi kereta terjejas, malah berisiko merosakkan komponen bergerak dalam enjin.
Fakta itu tidak lagi 100 peratus tepat. Minyak enjin detergen moden yang melalui proses penambahbaikan kelikatan minyak dan penemuan kejuruteraan auto terbaik membolehkan sesebuah kereta menukar minyak enjin dengan jarak perjalanan mencecah 12,000km.

Ya, anda masih tetap akan mendengar mengenai angka 5,000km, tetapi kebanyakkan kenyataan itu dibuat oleh pihak penjual minyak, termasuk pihak berautoriti dalam industri automobil. Namun, jangan pula dilupakan laporan pengguna seperti disiarkan majalah Consumer Reports (CR) di Amerika Syarikat yang tegas mengetepikan mitos berkenaan.

Menurut CR, kecuali anda memandu di bawah keadaan sukar yang luar biasa atau kerap memandu dalam situasi trafik henti-gerak, amalan menukar minyak enjin dengan jarak perjalanan 12,000km sepatutnya tidak akan menjejaskan enjin kereta anda.

4. CAMPURKAN ADITIF MINYAK ENJIN UNTUK TAMBAH ‘POWER’

Benar, aditif mampu menambahkan prestasi enjin. Tetapi syaratnya, aditif itu memang sudah siap ditambah ke dalam minyak.

Apa saja jenama minyak enjin bereputasi menawarkan aditif yang membantu meningkatkan indeks kelikatan dengan julat suhu yang mampu mengalir baik dalam enjin, selain memberikan sifat detergen yang melindungi enjin daripada enapan. Banyak juga minyak enjin yang mempunyai perencat karat untuk melindungi kakisan, dan bahan kimia untuk melindungi permukaan metalik.

Dengan kehadiran semua aditif itu, tindakan mencampurkan aditif tambahan mampu mencairkan minyak yang sudah sedia cair, sekali gus mengurangkan keberkesanan pelincir tersebut. Periksa manual kereta anda untuk melihat jika ada sebarang aditif khas diperlukan. Setakat ini, rata-rata kereta tidak memerlukan sebarang aditif tambahan kecuali beberapa enjin prestasi tinggi jenis eksotik.

5. MINYAK ENJIN SINTETIK PUNCA KEBOCORAN

Pada 1970-an, apabila minyak enjin sintetik (yang bukan hanya berasaskan petroleum, tetapi bahan kimia berasaskan stok seperti polyalphaolefin) menjadi popular, minyak itu gagal berfungsi baik dengan gasket dan penyendat dalam enjin kereta.

Minyak berkenaan menyebabkan penyendat mengecut, tidak seperti minyak enjin berasaskan petroleum, sekali gus menyebabkan kebocoran minyak misteri yang dapat dilihat di kawasan parkir dan garaj. Sesetengah pengguna masih takut menggunakan minyak sintetik kerana bimbang berlaku kebocoran dan memutuskan kekal dengan minyak berasaskan petroleum.

Ketakutan itu sebenarnya tidak berasas.

Pengeluar minyak beberapa tahun lalu sudah pun melakukan formulasi semula minyak enjin supaya masalah pengecutan tidak lagi berlaku. Ada beberapa punca yang menyebabkan minyak sintetik bocor, sekurang-kurangnya apabila anda menggunakan ia pada kereta lama yang sudah dipandu puluhan tahun menggunakan minyak berasaskan petroleum.

Minyak sintetik boleh membersihkan enapan minyak di penyendat yang mungkin menyekat retakan halus pada penyendat, sekali gus menyebabkan kebocoran.

Masalah ini tidak akan berlaku pada kereta baru, tetapi jika anda masih memandu kereta yang sudah berusia lebih 15 tahun, anda mungkin tidak mahu membuat keputusan terdesak untuk beralih kepada minyak sintetik.

Kredit: PanduLaju

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. TQ

Komen Anda...

Add Comment